PdPR dilaksana selepas raya - Utusan Malaysia

PdPR dilaksana selepas raya

MOHD. RADZI MD. JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) membuat ketetapan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan dilaksanakan selepas cuti perayaan Aidilfitri bermula 16 Mei sehingga 28 Mei ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ia dilaksanakan selama tempoh 10 hari sebelum cuti penggal persekolahan yang akan bermula 28 Mei ini.

Ia bagi mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah semasa musim perayaan dan bakal meningkatkan jangkitan di institusi pendidikan di bawah KPM.

Menurut beliau, para pelajar akan mengikuti PdPR bermula dari 16 Mei hingga 27 Mei membabitkan sekolah dalam Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) manakala 17 Mei hingga 28 Mei (Kumpulan B).

Katanya, pelajar seterusnya akan terus bercuti penggal dari 28 Mei hingga 12 Jun (Kumpulan A) dan 29 Mei hingga 13 Jun (Kumpulan B).

“Melihat kepada kes sporadik dalam masyarakat dan kluster lain yang tidak berkaitan dengan kluster pendidikan, kita khuatir berlaku jangkitan di luar sekolah sebelum ia menjangkiti pelajar dan menyebabkan berlaku penularan dalam sekolah.

“Kebimbangan KPM sudah tentu melibatkan pelajar-pelajar di sekolah asrama penuh dan sekolah asrama harian kerana jika terjadinya penularan di asrama, kemungkinan jangkitannya adalah lebih tinggi berbanding sekolah biasa,” katanya dalam taklimat khas di pejabat beliau di sini hari ini.

Dalam pada itu, Radzi berkata, jumlah jangkitan Covid-19 melibatkan kluster pendidikan masih kecil berbanding jangkitan dalam negara secara keseluruhan.

Dalam hal itu, katanya, sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap diteruskan kerana tiada keperluan untuk menutup operasi sekolah buat masa ini kecuali atas nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, berdasarkan dapatan data kes jangkitan yang berlaku melibatkan kluster pendidikan, ia hanya meliputi 39.2 peratus atau 99 kluster daripada keseluruhan kluster yang direkodkan di negara ini.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, hanya 52 kluster melibatkan institusi di bawah KPM atau meliputi hanya 4.8 peratus daripada keseluruhan kluster dengan merekodkan 2,274 kes (2.07 peratus).

Katanya, sebanyak 60.8 peratus adalah melibatkan kluster kes sporadik atau kes-kes jangkitan berlaku dalam masyarakat tanpa dapat dikesan dalam mana-mana kluster daripada keseluruhan 1,080 kluster di negara ini.

“Ini bermakna tidak semua kluster institusi pendidikan di bawah operasi KPM. Kita perlu melihat satu persatu data ini tetapi gambaran di luar sana seolah-olah sekolah adalah penyumbang utama penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, menurut beliau, Kementerian Pendidikan membuat keputusan untuk menutup dua hari operasi persekolahan bagi menyelaraskan kaedah jika terdapat kes jangkitan Covid-19 di mana-mana sekolah.

Katanya, sebelum memutuskan mana-mana sekolah ditutup, sekolah berkenaan terlebih dahulu menerima pengesahan kes positif dari PKD dan melaporkan kes tersebut kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidkan Daerah (PPD) serta-merta.

Selepas itu, katanya, JPN akan mengeluarkan surat arahan penutupan sekolah selama dua hari dan membuat laporan kepada kementerian serta-merta dan PKD akan melaksanakan penilaian risiko serta pengesanan kontak rapat selain memantau kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi.

“Jadi untuk penyelarasan, jika sah berlaku kes positif, sekolah akan maklumkan kepada JPN dan PPD dan JPN akan mengeluarkan arahan penutupan sekolah dua hari dan ibu bapa akan dimaklumkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN