PBS-STAR bakal berebut kerusi - Utusan Malaysia

PBS-STAR bakal berebut kerusi

GUANDEE KOHOI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal menyaksikan rakan sekutu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berebut kerusi.

Pertembungan kerusi dijangka berlaku antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di Parlimen Keningau.

Kenyataan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili bahawa parti itu ingin mempertahankan kerusi tradisi di Parlimen Keningau dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan mengundang rasa tidak senang hati dalam kalangan pemimpin STAR.

Setiausaha Agung STAR, Datuk Guandee Kohoi berkata, mereka faham keinginan PBS untuk mengimbas kembali sejarah tetapi, tidak adil untuk STAR menyerahkan kerusi yang menjadi kubu kuat mereka di kawasan pedalaman Sabah itu.

“Apa yang lebih mengecewakan adalah tindakan PBS yang ingin mengambil kerusi yang kini disandang oleh Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.

“Untuk itu, kami menganggap kenyataan Presiden PBS itu sebagai kenyataan selaku rakan dalam gabungan. Ia kerana, bukan mudah untuk memenangi kerusi tersebut (Keningau) kerana kami bekerja keras selaku pembangkang ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan dekat sini hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ini berkata, semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September 2020, STAR bertanding di kerusi DUN Tambunan atas persetujuan rakan gabungan dalam GRS.

STAR bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti lebih 6,000 undi. Ia adalah satu kemenangan besar.

Menurutnya, terdapat usaha menggabungkan STAR dan PBS sebelum ini untuk menjadi STAR Bersatu namun, usaha itu tidak mendapat maklum balas yang baik dalam kalangan pemimpin PBS.

Berkemungkinan ketika itu masih ada persepsi bahawa STAR hanya sebuah parti kecil yang cuba bertahan. Bagaimanapun, STAR masih terbuka untuk membincangkan soal gabungan itu demi perpaduan dalam GRS.

Guandee turut memberi jaminan bahawa STAR akan bekerjasama erat dengan PBS sebagai rakan gabungan bagi memastikan kemenangan GRS dalam PRU-15.

STAR memenangi kerusi Parlimen Keningau dan DUN Tambunan dalam PRU-14 dengan menggunakan simbol STAR. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya