PETALING JAYA: Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) bukanlah untuk menyusahkan sesiapa sebaliknya hanya mematuhi arahan Kementerian Kesihatan dalam mengekang penularan Covid-19.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan pihaknya banyak menerima kecaman terutamanya dari kakitangan kerajaan sendiri yang mempersoalkan pelaksanaan SJR itu.
“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak lagi diketatkan, kita akan tetap melakukan SJR seolah-olah sama seperti PKP.
“Jadi, jangan timbul lagi kecaman-kecaman kepada saya kerana sengaja dan tidak profesional melaksanakan SJR berkenaan sehingga menyebabkan jalan sesak empat atau lima kilometer.
“Lebih menyedihkan, di dalam mesyuarat telah dibangkitkan kenapa SJR itu diadakan di Putrajaya, apa kena mengena Putrajaya didirikan sekatan. Kecaman itu datang dari ‘dalam’ bukan orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan surat penghargaan tolak rasuah PDRM di Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hamid menegaskan cuti semua pegawai dan anggota polis di seluruh negara akan dibekukan berikutan Sambutan Perayaan Aidilfitri tidak lama lagi dalam menguatkuasakan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP)
“Saya yakin, kita ada kekuatan yang cukup dalam menguatkuasakan SOP. Seperti PKP pertama dahulu, sebanyak 46,000 kekuatan PDRM akan dikerahkan dan sekiranya keadaan memerlukan kita mempunyai 12,000 kekuatan lagi bersiap sedia,” jelasnya.