Op Benteng di sempadan guna dron

Op Benteng di sempadan guna dron

MUHAMMAD Hafizuddean Jantan melihat kenderaan lasak jenis ATV selepas melancarkan Program Penyerahan Aset Op Benteng Zon Utara di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, Kedah, hari ini. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PAS: Pasukan keselamatan yang terlibat dalam Op Benteng di Bukit Kayu Hitam dekat sini bakal menggunakan teknologi dron untuk memantapkan keupayaan risikan, pengawasan dan peninjauan (ISR) di sempadan negara, tidak lama lagi.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddean Jantan berkata, perkara itu kini berada dalam perancangan Pasukan Petugas Khas (NTF) dengan perolehannya dijangka akan dibuat tidak lama lagi.  

“Langkah itu cukup penting bagi membantu kita mendapatkan maklumat lebih pantas pada masa nyata (real time) bagi menghasilkan kejayaan operasi lebih berkesan.

“Setakat ini penggunaan dron di sini tidak begitu meluas seperti di selatan tanah air tetapi kita yakin perolehannya dapat dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Aset Mobiliti Darat kepada Ops Benteng Zon Utara KTJ 2 Divisyen di Markas Taktikal Kompeni Pos 5 Operasi Pagar II Siri 2/2021 di sini, hari ini.  

Hadir sama Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia, Datuk Arman Rumaizi Ahmad serta panglima-panglima formasi pemerintahan medan barat tentera darat.

Pada majlis itu sebanyak enam buah kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) dan empat buah pacuan empat roda dibekalkan ke kawasan Op Benteng Divisyen tersebut bagi mengawal kawasan sempadan sepanjang 24 kilometer di Bukit Kayu Hitam.

Sementara itu, katanya, Op Benteng yang dimulakan sejak Mei tahun lalu berjaya menurunkan jumlah kes penahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang cuba merentasi sempadan negara kepada 35 peratus berbanding sebelum pelaksanaannya.

Tanpa mendedahkan angka penurunannya, Muhammad Hafizuddean berkata, statistik itu jelas menunjukkan operasi dilaksanakan memberi kesan dalam usaha membanteras penyeludupan PATI.

“Kebanyakan penyeludupan PATI di negara ini dikesan  melalui lorong tikus dan laluan haram di sepanjang sempadan tanah air,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu, sepanjang 2019 dan 2020, jumlah hasil rampasan pelbagai jenis barangan di kawasan tanggungjawab (KTJ) Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) hanyalah kira-kira RM2.4 juta.

“Begitu pun sejak Ops Benteng ini dilaksanakan, 2 Divisyen telah mencipta kejayaan operasi yang mana nilai rampasan hingga April 2021 adalah sebanyak RM24.2 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya