Nak pinjam RM10,000 untuk kahwin, tapi rugi RM10,107 - Utusan Malaysia

Nak pinjam RM10,000 untuk kahwin, tapi rugi RM10,107

IRA (kiri) menjadi mangsa penipuan syarikat pinjaman wang dalam talian sehingga mengalami kerugian sebanyak RM10,107 dalam sidang akhbar di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hasrat seorang wanita mendapatkan pinjaman sebanyak RM10,000 daripada sebuah syarikat pinjaman wang dalam talian bertukar sebaliknya apabila dia ditipu dan mengalami kerugian pula sebanyak RM10,107.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ira berkata, dia memohon pinjaman sebanyak RM10,000 setelah melihat iklan dalam sebuah laman web yang menawarkan pinjaman secara dalam talian pada 13 April lalu.

Ira yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak memberitahu, dia memohon pinjaman tersebut bagi membantu datuknya yang sedang sakit selain untuk kegunaan bagi perkahwinannya, bulan depan.

Katanya, dia terpedaya dengan taktik pemberi pinjaman itu yang meminta pembayaran tambahan seperti deposit dan bayaran-bayaran lain sehingga wang miliknya pula habis digunakan.

“Saya dikehendaki mengisi maklumat dan jumlah pinjaman sebelum seorang lelaki bernama Shawn menghubungi dan meminta wang pemprosesan sebanyak RM600.

“Selepas itu, seorang lelaki lain menghubungi saya dan meminta pembayaran pendahuluan untuk enam bulan pula sebanyak RM1,962,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, situasi sama berulang dengan beberapa individu lain menghubungi dan memaklumkan dia perlu membuat bayaran tambahan sebelum boleh mendapatkan pinjaman wang yang telah dinaikkan kepada RM20,000.

“Apabila saya berkata mahu membatalkan pinjaman itu, saya dimarahi mereka dan diarah membayar denda selain diugut seorang individu yang memperkenal diri sebagai pengurus syarikat.

“Secara keseluruhannya, saya telah membuat lapan transaksi melibatkan wang sebanyak RM10,107 yang diperoleh dengan meminjam daripada ahli keluarga serta majikan,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua transaksi itu dibuat antara 13 hingga 17 April lalu sebelum syarikat terbabit gagal dihubungi sehingga kini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya