PETALING JAYA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyasarkan 80 peratus daripada kira-kira 100,000 pencarum mendaftar aplikasi MyWIRA menjelang April tahun depan.
Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, menerusi aplikasi itu, pencarum dapat mengakses penyata caruman dan memeriksa status permohonan dengan lebih mudah.
Katanya, pencarum juga dapat mengurus caruman dengan lebih pantas dan mudah menerusi inisiatif baharu yang diperkenalkan.
“MyWIRA aplikasi secara dalaman membolehkan pencarum mengakses maklumat akaun unit amanah dan mengakses maklumat lain seperti Yayasan LTAT, tawaran dan tawaran promosi lain.
“Malah pencarum dapat mengakses dengan lebih pantas. Aplikasi ini merupakan alternatif kepada saluran penyampaian sedia ada seperti e-kiosk dan i-wira namun ia lebih mesra pelanggan serta holistik,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran MyWIRA di sini hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir menyempurnakan pelancaran tersebut. – UTUSAN