MyUBAT diperluas permudah urusan pesakit - Dr. Noor Hisham

MyUBAT diperluas permudah urusan pesakit – Dr. Noor Hisham

pelitup
DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memperluaskan Sistem Pengurusan Pembekalan Ubat bagi Sistem Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi (MyUBAT) ke seluruh fasiliti kesihatan kementerian. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pelaksanaan secara menyeluruh itu dibuat bermula 15 April lalu susulan kejayaan projek rintis di tujuh fasiliti KKM sejak 12 Ogos tahun lalu. 

Katanya, tujuh fasiliti kementerian iaitu Hospital Ampang, Hospital Melaka, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah, Klinik Kesihatan Kelana Jaya dan Klinik Kesihatan Peringgit. 

“Berdasarkan projek rintis itu, sejumlah 14,099 pesakit berdaftar dengan sistem ini dan 24,413 preskripsi didispens melalui sistem MyUBAT dan jumlah ini dijangka terus meningkat selepas perluasan sistem MyUBAT ke fasiliti-fasiliti kesihatan awam di seluruh negara.

“Pembekalan ubat di fasiliti farmasi kementerian adalah bergantung kepada kestabilan status pesakit dan ketersediaan bekalan stok ubat-ubatan di fasiliti-fasiliti kementerian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, bagi pesakit berpenyakit kronik, pembekalan ubat adalah sama ada untuk tempoh sebulan atau dua bulan bagi menjamin kualiti ubat yang disimpan di rumah, memudahkan pemantauan kejadian kesan sampingan tidak diingini dan memastikan kepatuhan pesakit terhadap pengambilan ubat.

Ini termasuk katanya, bagi mengelakkan pembaziran serta mengurangkan risiko berlakunya kesilapan pengubatan akibat stok ubat berlebihan yang boleh disalah guna oleh bukan pesakit.

Beliau berkata, perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi (VAS) yang dijalankan KKM melalui Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB), perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu, sistem temu janji melalui kad temu janji, telefon dan aplikasi komunikasi telefon pintar bagi pengambilan ubat, Ubat melalui Pos (UMP) dan perkhidmatan ‘Locker4U’ sedia ditawarkan secara berperingkat sejak tahun 2003. 

Katanya, pelaksanaan VAS itu dipertingkatkan sepanjang tempoh pandemik berlaku dengan objektif utama adalah mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terutamanya golongan rentan.

Di samping itu, katanya, ia boleh menjamin kebolehcapaian pesakit kepada bekalan ubat susulan mengatasi kesesakan serta waktu menunggu lama di farmasi, beban kos pengangkutan serta kesuntukan masa bagi pesakit terlibat.

“Sepanjang tahun lalu, pelaksanaan VAS ini memudahkan pengambilan ubat susulan pesakit untuk 34.4 peratus preskripsi susulan berbanding 22.3 peratus bagi tahun 2019 malah melalui perkhidmatan UMP yang disediakan, kementerian meningkatkan keupayaan perkhidmatan ini lebih sekali ganda di mana sejumlah 4.2 peratus preskripsi susulan melalui UMP daripada jumlah keseluruhan berbanding dengan 1.5 peratus preskripsi susulan pada tahun 2019. 

“Langkah-langkah ini berjaya mengurangkan kesesakan di kaunter-kaunter farmasi seterusnya mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pesakit,” katanya. 

Tambahnya, sistem ini juga adalah dalam proses integrasi dengan Pharmacy Information System (PhIS & CPS) di dua fasiliti KKM iaitu di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang dan Klinik Kesihatan Kelana Jaya. 

“Perluasan fungsi ini agar pengguna boleh mengakses maklumat yang betul mengikut kesesuaian waktu pengguna dan seterusnya dapat mempercepatkan proses pendispensan. Orang awam boleh memuat turun aplikasi MyUbat melalui aplikasi Google Play, App Store atau AppGallery selain dari mendapatkan maklumat lanjut daripada fasiliti-fasiliti farmasi kementerian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN