MyAduan@MBI mudahkan penduduk buat aduan - Utusan Malaysia

MyAduan@MBI mudahkan penduduk buat aduan

NOLEE Ashilin Mohammed Radzi (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian di antara Rumaizi Baharin (kiri) dan Pengarah Urusan Pavillion Agro Farm, Mohd. Shariff Yahya di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melancarkan aplikasi sistem MyAduan@MBI sebagai platform khas untuk kemudahan dan keselesaan orang ramai menyampaikan pelbagai aduan mengenai permasalahan di kawasan pentadbiran MBI.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, sistem itu boleh diakses 24 jam dan akan mula aktif untuk dilayari mulai 30 April ini.

“Orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan melalui laman web, Facebook, Instagram dan Twitter MBI. MBI juga menyertakan informasi dan tatacara lengkap penggunaan aplikasi ini.

“Kini, dengan hanya sekali klik, aduan akan terus sampai ke pihak majlis,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Urban Scale Sdn. Bhd. dan Pavillion Agro Farm (Petting Zoo), Gunung Lang.

Menurut Nolee Ashilin, MBI juga akan memantau keberkesanan aplikasi itu dan membuat penambahbaikan selepas mendapat respons daripada pengguna dalam tempoh dua minggu selepas aplikasi itu beroperasi.

Beliau berkata, ini bagi memastikan aplikasi itu memberikan kemudahan dan keselesaan kepada orang ramai.

“Penduduk boleh menjadi mata dan telinga MBI untuk menjalankan tanggungjawab bagi membantu MBI menyelesaikan aduan melalui aplikasi MyAduan MBI,” katanya.

Nolee Ashilin berkata, tahun lalu, MBI menerima 21, 766 aduan mengenai permasalahan yang terdapat di kawasan pentadbirannya dan setakat dua bulan pertama tahun ini, 3,046 aduan telah diterima.

Beliau berkata, 84.97 peratus daripada aduan tahun lalu telah diselesaikan manakala 51.77 peratus aduan dua bulan pertama tahun ini berjaya diselesaikan.

“Menjadi tanggungjawab MBI untuk memastikan aduan yang diterima dapat ditangani dengan segera,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya