‘Mungkin mainan orang tengah punca kenaikan harga barang’

‘Mungkin mainan orang tengah’

ALEXANDER Nanta Linggi (belakang, tengah) memberi kit cecair pembasmi kuman kepada peniaga ketika meninjau Bazar Ramadan Presint 3 di Putrajaya hari ini. -FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyifatkan kenaikan harga luar biasa awal Ramadan kali ini akibat permainan orang tengah.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi malah meluahkan kehairanan apabila mendapati penawaran barangan adalah mencukupi dan tiada gangguan rantaian bekalan.

“Mungkin ada ‘permainan orang tengah’ yang cuba mengaut keuntungan untuk memastikan harga naik melambung padahal bekalan sebenarnya cukup,” katanya kepada pemberita sebelum melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Presint 3 serta  melancarkan Op Pantau sempena Ramadan dan Aidilfitri 2021, di sini hari ini.

Op Pantau itu bertujuan memastikan bekalan makanan dan keperluan harian pada harga berpatutan serta dilaksanakan secara seragam di lokasi bazar tumpuan seluruh negara.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kebimbangan rakyat yang terbeban sekali lagi dengan peningkatan harga runcit barangan di seluruh negara ketika hari pertama Ramadan semalam dipercayai berpunca daripada tindakan pengeluar dan ‘orang tengah’ yang cuba memanipulasi harga untuk mendapatkan keuntungan amat luar biasa sejak setahun lalu.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, mesyuarat kementerian itu hari ini turut membincangkan perihal isu tersebut dan semakan mereka mendapati bekalan adalah stabil serta cukup.

“Kita ada pelbagai akta dan ordinan untuk mengekang kegiatan pencatutan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja menaikkan harga tanpa sebab munasabah,” tegasnya.

Justeru, beliau meminta orang ramai agar tidak terlalu bimbang dan segera membuat aduan jika mendapati ada peniaga cuba bertindak menaikkan harga untuk tindakan susulan dibuat.

Bagaimanapun ujarnya, setakat ini belum ada lagi aduan diterima daripada orang ramai dan berharap, masyarakat tidak panik kerana situasi bekalan sebenarnya masih lagi terkawal.

Dalam pada itu, beliau melahirkan kekesalan apabila mendapati ada segelintir pengunjung bazar Ramadan jelas tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Saya secara jujur tidak berapa berpuas hati. Ramai sesak sungguh giliran hendak masuk ke sini dan ada lihat macam tidak berapa patuh SOP sangat,” kata beliau dalam nada kesal.

Alexander bagaimanapun berharap, suasana itu kemungkinan disebabkan ramai teruja apabila bazar Ramadan dibuka tahun ini dan pematuhan SOP dijangka meningkat selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya