KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) memperuntukan RM71,155 untuk diagihkan kepada 19 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Jordan, tahun ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr. Asmadi Abdul Rahman berkata, mereka adalah pelajar yang mendapat tajaan Yayasan Pahang.
“Peruntukan itu berupa tajaan kapal terbang sehala dan wang saku berjumlah RM1,200 setiap seorang. Kita mahu memudahkan sedikit sebanyak urusan mereka dengan adanya bantuan ini.
“Diharapkan sumbangan ini juga dapat memberikan suntikan semangat dan galakan kepada pelajar serta meringankan perbelanjaan yang ditanggung ibu bapa,” katanya kepada pemberita di Kompleks Yayasan Pahang, di sini hari ini.
Agihan peruntukan itu diserahkan kepada Ketua Bahagian Operasi Yayasan Pahang, Abd. Razak Abd. Musa Syaari melalui surat kelulusan dan baucar pembayaran di Kompleks Yayasan Pahang.
Dr. Asmadi memaklumkan, penyaluran bantuan dilaksanakan menerusi skim agihan zakat khususnya kepada penuntut yang melanjutkan pengajian ke luar negara.
“Melalui skim ini turut menyalurkan bantuan awal kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan dermasiswa pelajar berdasarkan syarat dan kriteria ditetapkan.
“Bila kita dapati penuntut atau pelajar ini layak, bantuan segera disalurkan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE