SHAH ALAM: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat yang diburu selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan Mahkamah Syariah sebelum ini kemungkinan berada di luar negara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, bagaimana cara dia berada di sana, pihaknya tidak mengetahuinya.
“Bagaimana berada di sana, wallahu a’lam dan mungkin dia menggunakan kaedah tertentu boleh berada di luar negara.
“Namun, kita tidak berputus asa mengesan disebabkan perkara ini merupakan kes Mahkamah Syariah dan pihak mahkamah meminta pertolongan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, sekiranya Muhammad Sajjad berada dalam negara sudah pasti akan dapat menjejak dan mengesannya.
“Maklumat yang diterima macam-macam. Ada orang kata dia di Johor dan Kelantan dan setiap maklumat ini kita ambil tindakan dengan melakukan pengesahan.
“Tetapi apa yang berlaku dia tiada di sana,” ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengeluarkan waran tangkap ke atas Muhammad Sajjad selepas gagal hadir prosiding sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina pada 23 Februari lalu.
Dalam perkembangan berasingan, ditanya mengenai dirinya akan menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara, Arcyl Sani enggan mengulas lanjut perkara tersebut.
“Saya reserve (simpan) komen,” katanya.
Untuk rekod, kontrak Abdul Hamid yang berkuat kuasa sejak 4 Mei 2019 akan berakhir 3 Mei ini.
Walaupun terdapat desas-desus mengatakan Abdul Hamid akan terus kekal memimpin pasukan itu, beliau mengulangi pendiriannya untuk mengundurkan diri apabila tiba masanya. – UTUSAN