Isu tren DMU: MOT buat laporan polis terhadap Presiden Rum

MOT buat laporan polis terhadap Presiden Rum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) memandang serius tuduhan tidak berasas Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (Rum), Abdul Razak Md. Hassan berhubung tren Diesel Multiple Unit (DMU) yang disebarkan menerusi Facebooknya.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian memandang serius tohmahan yang bertujuan mencemarkan imej kementerian demi kepentingan peribadi pihak tertentu termasuk Abdul Razak yang dilakukan pada 5 April lalu. 

Katanya, satu laporan polis juga telah dibuat terhadap Abdul Razak bagi tindakan susulan. 

“Abdul Razak mempersoalkan kenapa tren DMU ini seolah-olah digunakan secara tergesa-gesa sedangkan kesemua 13 unit tren DMU telah selamat tiba dari pembekal dan amatlah janggal sekiranya ia tidak digunakan. 

“Malah, Jabatan Audit Negara akan mempersoalkan sekiranya ia tidak digunakan sedangkan kesemua tren DMU telah pun selamat tiba dalam keadaan baik,” katanya hari ini.

Kenyataan itu menyebut, 13 unit DMU baharu ini adalah menggantikan lokomotif dan koc penumpang sedia ada bagi laluan Pantai Timur yang memerlukan kos penyelenggaraan terlalu tinggi dan sering berlaku kerosakan. 

Katanya, power generating car (PGC) sedia ada tidak dapat menampung keperluan operasi setiap jajaran koc, maka DMU yang akan menggantikan jajaran koc itu akan lebih baik dan mempunyai kelajuan lebih tinggi sesuai dengan trek yang sedang dibaik pulih dan akan siap sepenuhnya kelak. 

“Seterusnya faedah ini akan diterima oleh rakyat di sepanjang jajaran tren Pantai Timur terutama pelajar sekolah yang menggunakan perkhidmatan secara harian.

“Tidak timbul isu berkaitan tahap keselamatan komponen tangki minyak tren DMU kerana ia sentiasa dibersihkan dan dibaiki dengan segera jika terdapat kerosakan atau kecacatan manakala tangki minyak ini yang selamat digunakan juga akan digantikan secara berperingkat mengikut keperluan,” katanya.

Tambahnya, tahap kualiti cermin tingkap yang dibangkitkan, ia akan ditukar serta merta sekiranya terdapat kerosakan.

Katanya, ia sama seperti cermin dalam kenderaan lain, suhunya sentiasa berubah mengikut faktor cuaca yang boleh menyebabkan ia berwap dan tiada kaitan dengan soal kualiti cermin tersebut. 

“Mengenai persepsi berkaitan depoh pula, kementerian ingin memaklumkan bahawa terdapat beberapa fasiliti depoh penyelenggaraan DMU sedang di peringkat akhir pembinaan.

“Malah, ia tidak menjejaskan penyelenggaraan set DMU kerana masih terdapat depoh penyelenggaraan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedia ada lain yang boleh menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan. 

“Semua set DMU yang bakal beroperasi ini adalah set-set baharu yang hanya memerlukan pemeriksaan berjadual sahaja pada masa ini dan perkara ini adalah dalam kawalan pihak KTMB,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya