Mi goreng ingatkan Marlinah kepada arwah suami - Utusan Malaysia

Mi goreng ingatkan Marlinah kepada arwah suami

JAMALUDDIN MOHD. ALI (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Marlinah Utan (tiga dari kanan) di Taman Kingfisher, Kota Kinabalu, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Walaupun sudah lapan tahun berlalu sejak kehilangan suaminya, Marlinah Utan masih tidak mempunyai kekuatan untuk memasak makanan kegemaran insan tersayangnya itu setiap kali menjelang Ramadan.

Dahulu setiap kali hendak berbuka puasa, arwah Sarjan/S Salam Togiran mesti memintanya menyediakan mi goreng dan teh ais.

Namun, sejak arwah suaminya terkorban dalam insiden berdarah Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna, dekat sini pada 2013, wanita berusia 47 tahun itu tidak mempunyai kekuatan untuk memasak mi goreng di rumah kerana pasti terkenangkan arwah.

Wanita itu memberitahu, jika anak-anaknya teringin makan mi goreng, mereka membeli dari luar dan tidak pernah sekali pun mereka memintanya memasak hidangan tersebut.

“Anak-anak tahu saya tidak mempunyai kekuatan memasak makanan yang digemari oleh arwah bapa mereka. Saya tidak mampu mengenang kembali memori menyediakan juadah berbuka untuk arwah,” katanya.

Dia berkata demikian semasa kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Dr Jamaluddin Mohd. Ali di rumahnya di Taman Kingfisher, di sini baru-baru ini.

Menurut Marlinah, biarpun sudah agak lama suaminya meninggalkan mereka enam beranak tetapi dia masih menjalani rawatan kerana mengalami keresahan dan serangan panik.

Kehilangan suami dalam insiden berdarah itu memberi tamparan hebat buatnya.

“Sejak tiga tahun lalu, saya masih menerima rawatan untuk anxiety dan panic disorder. Polis juga ada mengadakan sesi kaunseling sebagai sokongan moral untuk saya,” katanya.

Mengenai persiapan menyambut Aidilfitri, dia memberitahu, persediaan dibuat secara sederhana dengan menyediakan dua pasang baju untuk setiap seorang anak yang kini berusia enam hingga 24 tahun.

Sementara itu, balu Sarjan Mejar (Detektif) Baharin Hamit iaitu Sumiati Suarah, 59, berkata, detik kehilangan suami tersayang yang terkorban ketika bertugas bukan perkara mudah untuk dilupakan.

Namun, ibu kepada dua anak ini tetap reda dengan ketentuan Ilahi.

“Saya mengambil masa setahun untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa suami di sisi. Tapi, kami perlu reda kerana saya mesti meneruskan hidup demi anak-anak yang merupakan pendorong dan sumber kekuatan saya selama ini.

Dalam Op Daulat yang dilancarkan pada 5 Mac 2013, enam anggota polis terbunuh semasa serangan hendap di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna pada 2 Mac 2013.

Selain Salam dan Baharin, empat anggota polis lain yang terkorban dalam Op Daulat adalah Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Deputi Superintendan Michael Padel, Sarjan Mejar Abdul Azis Sarikon dan Koperal Mohd Azrul Tukiran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya