IPOH: Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad disahkan negatif Covid-19 selepas menerima keputusan ujian saringan pengesanan virus tersebut hari ini.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Perak, keputusan itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kinta pada pukul 4. 30 petang tadi.
Katanya, Menteri Besar melakukan ujian saringan berkenaan pada pukul 2.30 petang semalam di Pusat Penilaian Covid-19, Arena Tenis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini.
“Bagaimanapun, Menteri Besar akan terus menjalani kuarantin sehingga 3 Mei ini seperti dijadualkan dalam Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) yang diberikan Kementerian Kesihatan,” kata kenyataan itu.
Menteri Besar menjalani proses kuarantin selama 11 hari mulai kelmarin setelah dikesan sebagai kontak rapat kepada individu yang disahkan positif Covid-19.
Beliau menjadi antara kontak rapat dengan individu berkenaan ketika menghadiri satu program di Lenggong, Perak pada 23 April lalu.
Difahamkan, individu berkenaan disahkan positif Covid-19 pada Selasa lalu.
Berikutan itu, berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan, Menteri Besar diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 11 hari iaitu dari hari kontak rapat berlaku dan dipakaikan gelang pengawasan.
Saarani dijadual kembali bertugas pada 4 Mei ini sebaik sahaja selesai menjalani proses kuarantin selama 11 hari. – UTUSAN ONLINE