JOHOR BAHRU: Pelawak popular pada era 60-an, Mat Sentul yang kini terlantar sakit di rumahnya mengakui amat merindui rakan artis yang sama-sama berjuang dengannya memeriahkan industri hiburan tanah air suatu ketika dahulu.
Mat Sentul atau nama sebenarnya, Abdul Rasip Yahya, 88, yang kini memerlukan bantuan anaknya untuk bergerak juga perlu mendapatkan rawatan susulan hampir setiap minggu di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Pelakon filem Mat Bond dan Mat Tiga Suku itu yang menerima kunjungan Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di rumahnya di Larkin, baru-baru ini juga kelihatan kurang bermaya dan hanya terbaring di katil.
Wakil MAINJ, Nasir Ishak berkata, Mat Sentul yang dijaga anak lelakinya, Roslee Rashid, 60, bagaimanapun masih mengingati dengan jelas tentang filem-filem yang dibintanginya dahulu.
“Dalam kunjungan itu, keadaan kesihatan Mat Sentul atau mesra dipanggil Pak Mat dilihat semakin merudum dimamah usia dengan kebanyakan masa di rumah dia hanya terlantar terbaring sahaja.
“Tutur katanya juga kurang jelas dan dia perlu dipimpin oleh anaknya untuk bergerak ke mana-mana sahaja. Bagaimanapun, ingatannya masih jelas apabila bercerita tentang filem yang pernah dibintangi dahulu dan sesekali terukir senyuman di wajahnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam kunjungan tersebut, pihak MAINJ yang diwakili Ketua Penolong Pengarah Zakat Baitulmal dan Wakaf, Azlan Abdullah menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, keperluan makanan asas serta bantuan perubatan.
Dalam pada itu, Nasir berkata, Mat Sentul belum pernah menerima bantuan baitulmal sebelum ini dan hanya mendapat bantuan RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
“Sebelum kami pulang, anaknya memberitahu bahawa Mat Sentul rindu untuk bertemu rakan seperjuangannya. Katanya, sejak dia sakit, tak ada rakan artis yang mengunjunginya,” katanya.
Pada 2018, pelakon veteran, itu pernah dimasukkan ke HSA akibat strok haba. – UTUSAN ONLINE