PUTRAJAYA: Bilangan kes ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam turun kepada 72 individu ditahan berbanding 82 individu kelmarin.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua mereka dikenakan kompaun dengan kesalahan tertinggi masih lagi kegagalan tidak memakai pelitup muka sebanyak 25 kes.
Katanya, ini diikuti kesalahan lazim lain iaitu gagal merekod butiran diri atau daftar masuk di premis (21), tidak patuh penjarakan fizikal (tiga) dan pelbagai lagi kesalahan lain (23) yang dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis melalui 63,501 pemeriksaan melibatkan 3,447 pasukan di seluruh negara.
“Selain itu, seorang pendatang asing tanpa izin ditahan dan empat diusir melalui Operasi Benteng, manakala 120 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” tegas Ismail Sabri.
Enam kenderaan darat juga disita semalam manakala 257 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan dan 50 lagi oleh pihak polis.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 1,436 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya dikuarantin yang mana 7,207 individu masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 74 hotel serta sembilan institusi latihan awam.
Katanya, seramai 1,447 individu terbabit dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 167,570 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 535 peruncit, 150 pemborong dan 30 pengilang selain melakukan 1,843 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis ditinjau didapati mematuhi peraturan ditetapkan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memberitahu, hanya seorang pekerja asing disaring positif semalam daripada 826 pekerja warga asing menjalani proses itu semalam.
Secara kumulatif jelas beliau lagi, sejak 1 Disember lalu, seramai 684,477 individu selesai melakukan ujian mandatori itu melibatkan penyertaan sejumlah 35,313 majikan dengan 10,222 pekerja daripadanya disahkan positif. – UTUSAN