Maritim Pahang rampas 7 set bubu naga - Utusan Malaysia

Maritim Pahang rampas 7 set bubu naga

BUBU naga yang dirampas Maritim Malaysia Pahang dalam Op Makmur di perairan Sungai Ular di Kuantan, Pahang. - IHSAN MARITIM MALAYSIA PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang merampas tujuh set bubu naga yang digunakan secara haram di sekitar perairan Sungai Ular, dekat sini semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Datuk Amran Daud berkata, dalam operasi dijalankan sekitar pukul 10 pagi itu, ia adalah rampasan pertama agensi berkenaan melibatkan bubu naga di perairan negeri ini.

Katanya, bubu naga adalah alatan terlarang bagi menangkap hasil laut di perairan negara ini kerana benih dan ikan kecil turut terperangkap sekal gus menyebabkan kekurangan hasil laut.

“Semasa rondaan Op Makmur di pesisir pantai Sungai Ular sekitar pukul 10 pagi, pasukan kami menemukan tujuh set peralatan menangkap ikan mencurigakan dan mendapati ia adalah bubu naga berukuran lebih kurang 10 meter panjang setiap set.

“Kesemua set bubu tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Negeri Pahang untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat.

“Siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Amran turut menggesa komuniti maritim terutama nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta syarat sah lesen dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya