PUTRAJAYA: Malaysia bersedia menilai semua jenis calon vaksin baharu yang dibangunkan di seluruh dunia termasuk jenis semburan hidung (nasal spray).
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, buat masa ini, Malaysia sudah mempunyai bekalan vaksin mencukupi bagi keperluan 110 peratus populasi.
“Bagaimanapun, jika kemudian kita membuat keputusan bahawa pandemik menjadi endamik dan akan kekal, sudah tentu perlu ada perolehan vaksin untuk jangka masa panjang.
“Buat masa ini, keperluan kita sudah cukup untuk mencapai komuniti kelompok seperti yang disasarkan akhir tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan PICK, di sini hari ini.
Mengulas mengenai kelonggaran diberikan Amerika Syarikat (AS) kepada warganya untuk membuka pelitup muka selepas mencapai 40 peratus imunisasi kelompok, Khairy berkata, Malaysia perlu melihat beberapa perkara terlebih dahulu sebelum kelonggaran itu diberikan.
Menurutnya, pihaknya terpaksa melihat bukan hanya kepada kadar vaksinasi tetapi menilai kadar jangkitan.
“Kita kena berhati-hati dalam menilai data berkenaan kerana vaksin bukannya 100 peratus berkesan.
“Saya percaya pakar di Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat keputusan dan mengesyorkan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin (JKJAV) mengenai kelonggaran ini untuk diusulkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Sebelum ini, Pusat Kawalan Penyakit (CDC) AS memberitahu kelonggaran tidak memakai pelitup muka ketika berada di kawasan terbuka diberikan kepada rakyat AS yang sudah menerima dos lengkap vaksin. – UTUSAN ONLINE