CYBERJAYA: Setelah lebih setahun beroperasi, Malakat Mall bakal dibuka selama 24 jam setiap hari sepanjang Ramadan ini bagi kemudahan masyarakat khasnya umat Islam membeli-belah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, konsep unik itu diambil daripada kejayaan gedung beli-belah antara terkemuka di Singapura, Mustafa Centre.
“Insya-Allah, Malakat Mall sebenarnya sudah bersedia dibuka 24 jam sehari tanpa henti pada Ramadan kelak dan ini juga kita belajar contoh daripada Mustafa Centre di Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis sesi uji rasa Santapan Sepurnama@Casa De Madani bersempena sambutan Ramadan 2021 di Malakat Mall, di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan Malakat, Adzhar Mohd. Noor; Pengarah Kulinari Kumpulan Malakat, Chef Azizan Shukri dan COO Malakat Food Sdn. Bhd., Abdul Aziz Juhari
Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil berkata, tujuan beroperasi 24 jam itu bukan disebabkan mahu umat Islam lebih leka membeli-belah daripada beribadah, tetapi ingin memberi mereka pilihan.
“Kita tidak mahu ada kelam-kabut dan solat sunat tarawih pun tidak khusyuk sebab tergesa-gesa hendak pergi membeli-belah kerana bimbang masa agak terhad sebelum pintu ditutup,” katanya.
Pada masa sama, pembukaan 24 jam itu memudahkan masyarakat merancang jadual kerana kesibukan kerja pada siang dan keletihan berpuasa menyebabkan tidak sempat membeli-belah.
Bagaimanapun, kawasan medan selera dan premis makanan di Malakat Mall hanya beroperasi beberapa jam sebelum waktu berbuka puasa hingga sahur menjelang azan Subuh keesokannya.
Langkah pembukaan operasi di kompleks perniagaan yang 100 peratus milik usahawan Muslim itu ujar beliau lagi, turut dijangka memberi peluang pendapatan tambahan kepada para penyewa.
“Selain itu, jika tiada masalah, surau di sini juga akan penuh pelbagai program imarah ibadah untuk pengunjung menunaikan solat sunat, bertadarus dan beriktikaf dengan selesa,” katanya.
Menyentuh program Santapan Sepurnama @ Casa De Madani, Mohd. Fadzil menyeru korporat beramal jariah dengan menaja pelajar tahfiz, anak yatim dan golongan rentan berbuka puasa.
Langkah strategi pintar itu bukan sekadar meraih pahala bersedekah Ramadan yang amat besar ganjarannya, bahkan mampu memberi keberkatan berpanjangan dalam rezeki perniagaan. – UTUSAN ONLINE