Makanan, minuman seludup RM77,000 dirampas  - Utusan Malaysia

Makanan, minuman seludup RM77,000 dirampas 

MOHD. Khairi Abdullah (depan) menunjukkan sebahagian makanan dan minuman seludup yang dirampas di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) merampas barang makanan dan minuman seludup dari Thailand bernilai lebih RM77,000 dalam dua serbuan di Alor Setar dan Bukit Kayu Hitam di sini semalam.

Komander Aksem Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintenden Mohd. Khairi Abdullah berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang wanita Thailand berusia 56 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kampung Perak, Alor Setar,  pukul 6.15 petang semalam.

Menurut beliau, wanita yang menjadi  isteri kepada seorang warganegara tempatan dan mengusahakan kedai runcit, disyaki menjadi ejen penyeludupan bagi membawa masuk barang makanan keluaran Thailand yang tidak ada label Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Serbuan ke atas rumah itu menemukan 24 jenis makanan dan minuman antaranya mi segera, perasa masakan, minuman tenaga, kicap dan sos ikan pelbagai jenama.

“Nilai keseluruhan kira-kira RM60,000 tidak termasuk cukai. Difahamkan barangan tersebut dibawa masuk untuk diedarkan di sekitar bandar raya ini,”  kata beliau pada sidang akhbar di Pejabat Aksem Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, rumah kayu tersebut disewa  wanita berkenaan untuk menempatkan barangan-barangan seludup tersebut.

Sementara itu, menurut beliau,  pihaknya turut menahan seorang pemandu treler kira-kira pukul 10 malam tadi kerana membawa dua jenis makanan iaitu sos cili manis dan cili dalam minyak keluaran negara jiran, melebihi kuantiti diisytiharkan kepada kastam.

“Nilai rampasan semua barang  RM17,160. Selain barangan makanan, treler tersebut yang bernilai kira-kira RM80,000 turut dirampas manakala pemandunya yang merupakan warganegara tempatan berusia 57 tahun, ditahan untuk siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya