Majlis Peguam diingatkan bertindak ikut lunas undang-undang

Majlis Peguam diingatkan bertindak ikut lunas undang-undang

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Peguam dan semua pengamal undang-undang lain diingatkan bertindak mengikut lunas undang-undang terutama ketika pelaksanaan Proklamasi Darurat ketika ini termasuk memberi kefahaman serta pencerahan tentang undang-undang kepada masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, adalah amat dukacita di saat semua jentera kerajaan menumpukan segala usaha termasuk kewangan untuk memerangi Covid-19, terdapat sesetengah pihak cuba membuat tafsiran undang-undang mengikut selera sendiri, seolah-olah bertujuan meraih populariti dalam kalangan rakyat.

Menurut beliau, sebagai badan profesional bidang undang-undang, beliau yakin Majlis Peguam tetap mendukung prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang negara serta akan terus menentang usaha-usaha memesongkan kehendak undang-undang terutamanya ketika negara sedang berada dalam keadaan kritikal dan getir dengan penularan berterusan wabak Covid-19. 

“Perlu ditekankan bahawa Ordinan Darurat hanyalah terpakai ketika negara berada di dalam tempoh Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pada masa ini, negara berada dalam suasana darurat dari segi undang-undang apabila Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan. 

Maka berdasarkan peruntukan Perkara 150 (1), Seri Paduka Baginda mengisytiharkan suatu Proklamasi Darurat pada 11 Januari lalu berkuat kuasa sehingga 1 Ogos ini selama sekitar 6 bulan 20 hari ekoran penularan pandemik sejak setahun lebih  lalu.

“Langkah ini jelas merupakan usaha serius dan berfokus kerajaan dalam rangka memperkasakan usaha-usaha membasmi wabak penyakit berjangkit Covid-19 ini termasuklah menggubal dengan segera Ordinan-Ordinan yang perlu semasa tempoh darurat. 

“Kerajaan mengharapkan langkah yang semata-mata menumpukan kepada aspek-aspek kesihatan, ekonomi dan sosial ini difahami sepenuhnya semua lapisan masyarakat demi kebaikan individu, masyarakat, komuniti dan negara keseluruhannya,” katanya. 

Sabtu lalu, Badan Peguam Malaysia dilaporkan memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan bagi membatalkan beberapa bahagian dalam Ordinan Darurat, selain supaya Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen.

Tindakan undang-undang itu memohon deklarasi melibatkan beberapa peruntukan berkaitan proklamasi darurat, yang menurut badan itu terlalu luas serta tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya