Litar lumba bernilai RM180 juta dibina di Langkawi - Utusan Malaysia

Litar lumba bernilai RM180 juta dibina di Langkawi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (tengah) melihat pertukaran dokumen Perjanjian Usaha Sama Projek Pembangunan Litar Lumba dan Resort Bersepadu Open Road antara Abdul Rahman Din (kiri) dan David Goh di Alor Setar, hari ini. – utusan/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Langkawi bakal memiliki satu lagi tarikan pelancongan sukan bertaraf dunia menerusi pembangunan litar lumba dikenali sebagai Litar Antarabangsa Open Road (ORIC) di Bukit Malut, tidak lama lagi.

Pengasas dan Penasihat Kumpulan Open Road Asia, Datuk David Goh berkata, pembinaan litar lumba sepanjang 5.8 kilometer itu dianggarkan bernilai RM180 juta.

Menurutnya, ORIC yang dibina di kawasan seluas 74 hektar itu juga dilengkapi dengan resort yang mengandungi kediaman mewah, outlet penjualan barangan mewah, hotel lima bintang dan pusat pengedaran kenderaan 4S (jualan, servis, alat ganti, semburan cat).

Selain itu, katanya, gudang penyimpanan 900 unit kenderaan mewah, stesen minyak serta pelbagai tarikan pelancong termasuk restoran terkemuka dunia akan turut dibina.

Malah, katanya, pembinaan litar lumba berkenaan dirancang untuk mendapat penarafan gred 2 daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

“Projek bersepadu resort dan litar yang bernilai keseluruhan RM1.3 bilion ini dijangka menyediakan lonjakan ekonomi berimpak tinggi kepada Langkawi, malah Kedah dan Malaysia apabila siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mewakili Open Road Asia Sdn. Bhd. bagi memeterai perjanjian usaha sama membangunkan sebuah projek berkonsepkan pelancongan dan sukan permotoran bernilai RM1.3 bilion bersama anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Kedah Berhad (PKB) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor menyaksikan perjanjian pelaksanaan projek tersebut antara Open Road Asia yang diwakili David dengan PKB yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rahman Din.

David berkata, fasa pertama pembangunan ini adalah pembinaan litar lapan kilometer yang dijangka bermula suku ketiga tahun ini dan dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

“Litar tersebut akan direka bentuk mengikut topografi sebenar Bukit Malut dengan beberapa rekod dunia bakal tercatat di situ antaranya litar lurus terpanjang, selain selekoh dan penurunan bukit curam yang mencabar kemampuan pelumba,” katanya.

David menambah, pihaknya akan melantik arkitek, pereka terkemuka dunia dan firma perunding bagi menyiapkan litar tersebut yang diilhamkan reka bentuknya dari litar Nurburgring di Jerman.

“Bakal dikenali sebagai Nurburgring Timur, perbincangan awal bersama firma perunding menetapkan kos pembinaan litar tersebut adalah sebanyak RM180 juta.

“Dengan penarafan gred dua dari FIA, litar ini boleh menganjurkan semua acara sukan permotoran bertaraf antarabangsa kecuali Formula 1 (F1),” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya