Lima negeri catat lebih 100 kes positif - Dr. Noor Hisham

Lima negeri catat lebih 100 kes positif

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan kes positif Covid-19, 1,889 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 1,485 kes. 

Sebanyak lapan kematian dan tujuh kluster direkodkan manakala kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu 16,696 kes berbanding semalam iaitu 16,300 kes. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 204 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 79 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, Selangor kembali menjadi negeri tertinggi merekodkan kes positif iaitu 517 kes diikuti Sarawak, 489 kes; Kelantan, 226 kes; Sabah, 142 kes dan Kuala Lumpur, 134 kes. 

“Negeri yang merekodkan kes dua angka iaitu Pulau Pinang, 92 kes; Johor, 84 kes; Perak, 56 kes; Kedah, 53 kes; Negeri Sembilan, 51 kes; Terengganu, 14 kes dan Pahang, 13 kes. 

“Putrajaya pula merekodkan kes satu angka yang tertinggi iaitu lapan kes; Melaka, enam kes; Perlis, tiga kes dan Labuan, satu kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dr. Noor Hisham berkata, lapan kematian termasuk seorang warga asing melibatkan lima kes di Sarawak manakala Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah, masing-masing satu kes. 

“Kes melibatkan lima lelaki termasuk seorang warga asing dan tiga wanita berusia antara 45 hingga 89 tahun. 

“Antara penyakit yang dikesan iaitu kencing manis, darah tinggi, dislipidemia, buah pinggang kronik, gout, strok, tuberkulosis, Thoracic Aorta Ectasia, kanser hati dan Brown Sequard Syndrome,” katanya. 

Mengulas mengenai tujuh kluster baharu, beliau berkata, ia melibatkan enam kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.

Enam kluster tempat kerja katanya, Kluster Jalan Khidmat di Kota Kinabalu, Sabah, 24 kes serta Kluster Batu Sepuluh di Tawau, Sabah, 16 kes dan Kluster Jalan Mohd. Taib melibatkan Hulu Selangor dan Klang, Selangor, 10 kes. 

“Tiga lagi, Kluster Jalan Sempilai melibatkan Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara, dan Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, 14 kes serta Kluster Permatang Berangan di Kuala Muda, Kedah, 28 kes dan Kluster Jalan Gapam melibatkan Melaka Tengah dan Jasin, Melaka, 10 kes dikesan positif. 

“Bagi kluster komuniti yang merekodkan satu kluster iaitu Kluster Jalan Sahadi melibatkan Sepang, Klang, dan Kuala Selangor, Selangor 20 kes dikesan positif,” katanya. 

Tambahnya, 10 kluster tamat iaitu Kluster Jalan Senu, Kluster Jalan Lada Sulah, Kluster Tapak Bina Jalan U-Thant, Kluster Jalan Tasek Avenue, Kluster Pasar Bidor, Kluster Jalan Damai, Kluster Kompleks Perabut, Kluster Jalan Jelapang, Kluster DTI Persiaran Wawasan, dan Kluster Jalan Main Bazaar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN