PETALING JAYA: Tindakan seorang lelaki menggunakan borang rentas negeri yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) palsu untuk membeli tiket bas rakan wanitanya di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Salak Selatan mengundang padah apabila mereka ditahan.
Kedua-dua mereka berusia 38 dan 41 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pada mulanya, lelaki tersebut telah membeli tiket bas ke Pulau Pinang untuk rakan wanitanya warganegara Vietnam.
Kata beliau, kakitangan kaunter yang menjual tiket tersebut berasa curiga dan mendapati borang rentas negeri tersebut meragukan sebelum membawa mereka ke Pondok Polis TBS untuk siasatan lanjut.
“Hasil siasatan lanjut mendapati, borang rentas negeri tersebut pernah dikeluarkan sebelum ini namun terdapat beberapa pindaan dibuat ke atas borang tersebut.
“Kedua-duanya telah ditahan dan dimasukkan ke lokap di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 22 (d) Akta 342,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Mokhsein memberitahu, perintah reman dibenarkan selama sehari terhadap suspek lelaki mengikut seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).
“Manakala, ke atas perempuan Vietnam dibenarkan selama empat hari bermula hari ini.
“Saya ingin memberi peringatan kepada orang ramai untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standart (SOP) yang ditetapkan dan arahan semasa pihak berkuasa dalam sama-sama menangani penularan penyakit Covid-19 ketika ini,” jelasnya. – UTUSAN