GEORGETOWN: Pasukan bomba mengambil masa 25 minit untuk mengeluarkan seorang pemandu kereta yang tersepit selepas terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengah-Bayan Baru di sini petang tadi.
Dalam kejadian pukul 2.45 petang, mangsa lelaki berusia 25 tahun yang memandu kereta Suzuki Swift ditemukan tersepit di dalam kenderaannya yang terbalik.
Kemalangan itu membabitkan tiga buah kereta termasuk sebuah Perodua Myvi dan Toyota Vios.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Mustakin Mohd. Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.53 petang dan tiba ke situ kurang lima minit kemudian.
“Bomba mengunakan peralatan khas untuk menstabilkan kereta dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang ketika itu tidak sedarkan diri.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh 25 minit kemudian dan diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital,” katanya beliau.
Dalam kejadian tersebut, dua pemandu kereta lain mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan memberitahu, pemandu kereta Suzuki Swift tersebut meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang pada pukul 4.10 petang.
“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan bedah siasat ke atas mayat lelaki itu akan dijalankan sebaik sahaja menerima keputusan saringan Covid-19,” katanya. – UTUSAN