Lebih 30 item fasa dua SHMMP 2021 akan diumumkan

Lebih 30 item fasa dua SHMMP 2021

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengumumkan lebih banyak lagi barangan yang akan disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 dalam masa terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lebih 30 barangan dikenal pasti bakal dimasukkan dalam skim tersebut termasuk 12 item yang telah ditetapkan harga pada paras siling berkuat kuasa 21 April lalu hingga 20 Mei ini.

Beliau menjelaskan, tindakan melaksanakan skim kawalan harga secara berfasa itu adalah berdasarkan situasi tekanan keperluan barangan tersebut yang hanya berlaku pada tempoh tertentu. 

Katanya, ia sekali gus, memberi keadilan kepada peniaga untuk menjual barangan mengikut harga pasaran iaitu tidak terikat kepada kawalan harga. 

“Kalau nak sekat barang-barang lain sekarang pun tidak ada keperluan dan memberi masalah pula kepada peniaga. Kita prihatin kepada semua pengguna dan peniaga dan tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa.

“Sebab itu kita perkenalkan 12 item ini terlebih dahulu dan kemungkinan terdapat sehingga 33 item lain akan dikuat kuasakan supaya memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di KPDNHEP, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Alexander berkata, tiada lagi kompromi terhadap mana-mana peniaga yang ingkar harga siling yang ditetapkan di bawah SHMMP 2021 itu dan sebarang alasan  semata-mata untuk menjual barangan melebihi harga itu juga tidak akan diterima. 

“Penguatkuasaan sepatutnya bermula 21 April lalu, tetapi sehari dua ini kita bagi peluang kepada peniaga untuk menyesuaikan dengan harga yang ditetapkan. Kalau ada stok lama sekali pun, dua hari ini sudah habis. Oleh itu, kami akan menggunakan segala undang-undang dan peraturan untuk menangani masalah berlaku kenaikan harga tidak berpatutan,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, sebanyak 4,411 pemeriksaan dilakukan di premis di seluruh negara dan hasil pemeriksaan itu mendapati terdapat empat aduan selain satu tindakan kes. 

Katanya, pihaknya meneruskan pemeriksaan dan penguatkuasaan dipertingkatkan lagi untuk memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap harga ditetapkan di semua peringkat termasuk pemborong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN