Lebih 30 item bakal disenarai bawah SHMMP 2021 - Utusan Malaysia

Lebih 30 item bakal disenarai bawah SHMMP 2021

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bakal menyenaraikan lebih 30 barang lagi di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 dalam masa terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lebih 30 barangan dikenal pasti bakal dimasukkan dalam skim tersebut termasuk 12 item yang ditetapkan harga pada paras siling berkuat kuasa 21 April hingga 20 Mei ini.

Menurut beliau, tindakan skim kawalan harga secara berfasa itu adalah berdasarkan situasi tekanan keperluan barangan tersebut yang hanya berlaku pada tempoh tertentu.

Katanya, ia sekali gus, memberi keadilan kepada peniaga untuk menjual barangan mengikut harga pasaran iaitu tidak terikat kepada kawalan harga.

“Kalau nak sekat barang-barang lain sekarang pun tidak ada keperluan dan memberi masalah pula kepada peniaga. Kita prihatin kepada pengguna dan peniaga selain tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa.

“Sebab itu kita perkenalkan 12 item ini terlebih dahulu dan kemungkinan terdapat sehingga 33 item lain dikuatkuasakan kemudian,” kata beliau pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di KPDNHEP di sini semalam.

Dalam pada itu, Alexander berkata, tiada lagi kompromi terhadap mana-mana peniaga yang ingkar harga siling di bawah SHMMP 2021 dan sebarang alasan tidak akan diterima.

“Penguatkuasaan sepatutnya bermula 21 April lalu, tetapi sehari dua ini kita bagi peluang kepada peniaga untuk menyesuaikan dengan harga yang ditetapkan. Kalau ada stok lama sekali pun, dua hari ini sudah habis,” katanya.

Beliau turut memberitahu, terdapat rungutan peniaga tidak dapat mengikuti harga yang ditetapkan kerana memberikan alasan mendapat bekalan daripada pemborong pada harga tinggi.

Sedangkan, kata beliau, pihaknya menetapkan skim harga kawalan itu di setiap peringkat iaitu di peringkat peladang, pemborong dan peruncit, dan kesemua pihak mendapat margin keuntungan masing-masing.

“Contohnya harga ayam standard di peringkat ladang RM5.80, pemborong RM7.10. Jadi kalau peruncit beli daripada pemborong mahal melebihi harga tersebut, pemborong itu telah melanggari peraturan dan boleh dikenakan denda.

“Jadi tidak berlaku situasi peruncit membeli mahal daripada pemborong kerana kita sudah hadkan paras harga di setiap lapisan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, sebanyak 4,411 pemeriksaan dilakukan di premis di seluruh negara dan hasil pemeriksaan itu mendapati terdapat empat aduan selain satu tindakan kes.

Katanya, pihaknya meneruskan pemeriksaan dan penguatkuasaan dipertingkatkan lagi untuk memastikan pematuhan terhadap harga ditetapkan di semua peringkat termasuk pemborong.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya