SHAH ALAM: Lebih 13,000 anggota polis Selangor akan ditugaskan semasa musim perayaan Aidilfitri kali ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua anggota terbabit akan menjalankan pemeriksaan di jalan raya dan rumah bagi memastikan orang awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
“Anggota polis akan bertugas secara bergilir mengikut jadual tugasan yang telah ditetapkan.
“Sekiranya mereka bercuti sebelum hari raya, mereka perlu bekerja semasa Aidilfitri,” katanya selepas program agihan bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan di Surau Khalid Al-Walid Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Tambah Arjunaidi, pihaknya akan menggunakan pertimbangan ketika melakukan pemeriksaan di rumah sekiranya terdapat ramai orang di dalam sesebuah rumah itu.
Bagaimanapun katanya, polis Selangor sedang menunggu SOP musim perayaan Aidilfitri daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Jika MKN membenarkan 10 orang dalam satu rumah, kita akur dengan penetapan yang dibuat mereka.
“Oleh demikian, kita berharap harap orang ramai dapat mematuhi SOP Aidilfitri yang dikeluarkan kerajaan nanti,” katanya. – UTUSAN