Latikan Acryl ganti Hamid prosedur biasa - Hamzah - Utusan Malaysia

Latikan Acryl ganti Hamid prosedur biasa – Hamzah

HAMZAH Zainudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelantikan  Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Ketua Polis Negara ke-13 adalah melalui prosedur biasa sebagaimana dilaksanakan pelantikan mana-mana Ketua Polis Negara terdahulu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata,  Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan beliau sebulat suara memberikan persetujuan untuk mengangkat Acryl Sani menerajui pasukan Polis Diraja Malayisa (PDRM) menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menamatkan kontraknya.

Menurut beliau, Abdul Hamid yang telah berkhidmat lebih dua tahun turut menandatangani persetujuan untuk menyerahkan tugas jawatan berkenaan kepada timbalannya. 

“Selepas proses itu dilakukan, saya sebagai Pengerusi  SPP menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beliau bersetuju seterusnya mengeluarkan surat untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.  

“Seri Paduka Baginda memberi perkenan untuk menerima Acryl Sani sebagai Ketua Polis Negara yang baharu. Saya ucapkan tahniah bagi pihak Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian dan beranggapan pelantikan ini sesuatu yang normal dilakukan melalui proses itu,” katanya.

Hamzah berkata demikian ketika berucap selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Ketua Polis Negara Ke-13 kepada Acryl Sani yang akan berkuat kuasa 4 Mei ini, di Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata, pelantikan Ketua Polis Negara yang baharu adalah satu keperluan untuk menggantikan Abdul Hamid yang  mencecah umur 63 tahun demi memastikan segala kebaikan yang dilakukan beliau dan Ketua-Ketua Polis Negara terdahulu dapat diteruskan.

Ini kerana, kata Hamzah, sebelum ini semua anggota dan pegawai polis dianggap rakyat sebagai satu pasukan yang baik .

Namun, beliau hairan mengapa sejak akhir-akhir ini ada perkara-perkara yang tidak disenangi telah dikeluarkan oleh pelbagai kumpulan dalam negara. 

Justeru, Hamzah memohon mana-mana pihak tidak menimbulkan perasaan yang boleh menyebabkan rakyat berasa tidak senang dengan pasukan polis terutama melalui platform media sosial. 

“Dengan adanya Ketua Polis Negara yang baharu, saya yakin ia dapat membantu untuk menentukan rakyat hidup dalam keadaan selamat, aman dan sejahtera.

“Segala apa yang dilakukan ini semata-mata untuk kebaikan negara, tidak timbul isu yang boleh merosakkan pasukan polis. Saya mohon semua pihak sentiasa mendoakan agar polis dapat menjalankan tugas yang baik dan akan bertambah baik pada masa akan datang,” katanya. 

Acryl Sani dilahirkan  pada 3 Oktober 1961 di Petaling Jaya, Selangor berkelulusan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara  Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam. 

Beliau menyertai  PDRM pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Asisten Superintenden Polis (ASP) dan sepanjang perkhidmatannya dalam pasukan keselamatan itu, beliau memegang  pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman. 

Antara  jawatan yang pernah disandang beliau ialah Timbalan Ketua Polis Daerah,  Komandan Maktab PDRM, Ketua Polis Negeri Terengganu dan Perak serta  Pesuruhjaya Polis Sarawak.  

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah dan Timbalan  Pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah serta menjawat jawatan sebagai Timbalan  Pengarah di Jabatan Pengurusan.  

Acryl Sani kemudiannya dilantik menjadi Pengarah di beberapa Jabatan di Ibu  Pejabat Polis Bukit Aman iaitu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan  Komuniti, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Sumber Strategik dan  Teknologi dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 14 Ogos tahun lalu. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN