PETALING JAYA: Lima remaja antara lapan ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Persiaran Raja Muda Musa, Klang Selatan di sini, hari ini.
Operasi bermula kira-kira 12.30 tengah malam hingga 10 pagi tadi dijalankan oleh Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Dalam operasi tersebut, kesemua yang ditahan berusia antara 16 tahun hingga 20 tahun apabila didapati berlumba dan melakukan aksi berbahaya di jalan raya.
Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, terdapat dua penunggang motosikal bersaing sesama sendiri dan melakukan aksi zig-zag serta menunduk badan bermula dari lampu isyarat berhampiran Kompleks Sukan Pandamaran.
Katanya, kemudian polis mendapati terdapat lima penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya di lokasi sama pada pukul 2.20 pagi
“Mereka berhenti di hadapan Flat Taman Kem sebelum ditahan anggota.
“Pada 3.30 pagi ketika pasukan sedang membuat pemantauan di Jalan Persiaran Raja Muda Musa, melihat sebuah motosikal yang ditunggang secara berbahaya sebelum lelaki itu ditahan di lampu isyarat berhampiran Kompleks Sukan Pandamaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Nadzri, hasil pemeriksaan mendapati dua suspek tidak memiliki lesen memandu dan disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, kesemua suspek dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Klang Selatan untuk tindakan selanjutnya.- UTUSAN