Lanjutan operasi Bazar Aidilfitri seluruh Pahang - Utusan Malaysia

Lanjutan operasi Bazar Aidilfitri seluruh Pahang

ABDUL RAHIM MUDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri bersetuju membenarkan operasi Bazar Aidilfitri dilanjutkan sehingga ke pukul 2 pagi menjelang perayaan Aidilfitri kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Abd. Rahim Muda berkata, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira kelulusan daripada kerajaan Persekutuan.

“Dengan itu, kita (kerajaan negeri) membenarkan Bazar Aidilfitri seluruh Pahang beroperasi dari pukul 12 tengahari hingga pukul 2 pagi.

“Peniaga dan pengunjung perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa semasa musim Covid-19 ini.

“Namun begitu, pengunjung yang membawa kanak-kanak di bawah 12 tahun atau warga emas perlu bertanggungjawab sepenuhnya berkaitan risiko keselamatan dan kesihatan orang yang dibawa bersama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abd. Rahim, mereka yang hadir ke bazar akan diberi satu pas masuk dan bilangan pengunjung juga dihadkan tertakluk kepada keluasan atau bilangan peniaga di tapak perniagaan berkenaan.

“Perkara yang wajib dilakukan adalah membuat pemeriksaan suhu dan imbasan QR Code MySejahtera di pintu setiap pintu masuk, hanya suhu tidak lebih lebih 37.5 darjah Celcius sahaja dibenarkan masuk.

“Pencuci tangan nyah kuman perlu disediakan di setiap lokasi kawalan pintu masuk dan keluar. Semua pengunjung, peniaga dan petugas wajib memakai pelitup muka termasuk kanak-kanak sepanjang masa berada di bazar,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan peniaga pakaian dan kasut supaya memastikan pelanggan tidak mencuba sebarang jenis jualan tersebut.

“Sila pastikan segala SOP dijaga kerana Bazar Aidilfitri akan ditutup selama tiga hari untuk pembersihan sekiranya terdapat pengunjung, peniaga atau petugas yang positif Covid-19.

“Justeru, mana-mana pengunjung atau peniaga yang melanggar SOP akan dikenakan kompaun seperti yang telah termaktub oleh pihak berkuasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya