MELAKA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas bubu naga yang digunakan secara haram di sekitar perairan Klebang, dekat sini semalam.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, dalam operasi pada pukul 2 petang itu, sebanyak tiga set bubu naga bernilai RM300 dirampas.
Katanya, bubu naga tersebut dipercayai diletakkan nelayan tempatan berdasarkan aduan yang diterima pihaknya sebelum ini.
“Bertindak atas aduan, operasi mengesan bubu naga ini dilakukan dan bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan botol-botol air mineral terapung di permukaan air dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati botol air mineral itu adalah penanda kepada lokasi pemasangan bubu naga berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Tambahnya, berikutan itu pasukan peronda meluaskan radius pemeriksaan dan menemukan bubu naga di tiga lokasi sekitar kedudukan 1.0 batu nautika barat muara Sungai Lereh, Klebang.
“Kesemua bubu naga yang dijumpai itu dirampas kerana penggunaannya tidak dibenarkan Jabatan Perikanan sejak November 2018.
“Penggunaan bubu naga boleh menyebabkan perairan Malaysia mengalami masalah kekurangan hasil laut kerana benih dan ikan kecil turut terperangkap dalam bubu naga berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE