KOTA BHARU: Seorang pengurus restoran Naskeen Coffee cawangan Troika, di sini, terkedu selepas menerima notis kompaun bernilai RM50,000 ketika dia sedang bertugas di premis tersebut, 21 April lalu.
Hidup Ammar Aiman Mat Yusof tidak lagi tenang selepas kejadian itu kerana kompaun tersebut bukan dikeluarkan kepada syarikat atau majikannya, sebaliknya kepada dia sendiri sebagai individu.
Berdasarkan notis oleh pihak polis itu, dia dikompaun RM50,000 atas kesalahan gagal mengawal pelanggan yang tidak memeriksa suhu badan dan mengimbas aplikasi Mysejahtera serta minum di meja.
“Saya susah hati memikirkan kemungkinan dipenjarakan kerana tidak mampu membayar kompaun. Jumlah itu sangat besar, kalau diberi potongan 50 peratus sekalipun saya masih tidak mampu melunaskannya.
“Saya juga terkilan dengan tindakan polis mengeluarkan notis itu tanpa budi bicara termasuk menyelidik secara terperinci terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat Naskeen Coffee dekat Pasir Tumboh di sini hari ini.
Ammar Aiman memberitahu, kira-kira pukul 9.30 malam 21 April lalu, ada dua pelanggan lelaki yang merupakan adik beradik sedang menunggu tempahan takeaway disiapkan sambil duduk di atas kerusi dalam keadaan penjarakan fizikal.
Katanya, minuman telah siap terlebih dahulu dan pelanggan tersebut bertindak menikmati minuman yang diterimanya sementara menunggu makanan yang ditempah disiapkan pekerja restoran,
“Anggota polis tiba-tiba masuk ke restoran dan bertanya pelanggan tersebut adakah mereka mengimbas kod di aplikasi MySejahtera atau tidak. Mereka memberitahu hanya menulis secara manual dalam buku log.
“Dia kemudian terus mengeluarkan notis kompaun RM1,500 kepada mereka manakala notis RM50,000 kepada saya yang bertugas ketika itu,” katanya.
Sementara itu, pemilik Naskeen Coffee, Nazif Abdul Aziz berkata, dia sudah mengemukakan rayuan bagi pihak pekerjanya itu kepada Kementerian Kesihatan namun belum ada sebarang keputusan diterima setakat ini.
Terdahulu, tular kes tiga individu iaitu seorang peniaga burger, peniaga colek dan peniaga kedai runcit dikenakan kompaun RM50,000 oleh pihak polis atas kesalahan berniaga lebih masa, Ahad lalu sehingga mengundang reaksi negatif pelbagai pihak.
Malah perkara itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa penguat kuasa menggunakan budi bicara serta perikemanusiaan dalam menguatkuasakan undang-undang. – UTUSAN ONLINE