Kurangkan kekangan birokrasi dalam sektor awam - PM

Kurangkan kekangan birokrasi dalam sektor awam – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tumpuan pemerkasaan sektor awam  perlu diberikan kepada usaha mengurangkan kekangan birokrasi demi membantu segenap lapisan masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, fokus utama kerajaan ialah memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan mesra rakyat supaya mesej dan bantuan dapat disalurkan secara efektif kepada golongan sasar yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Sebagai contoh, kata beliau, di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), mana-mana peraturan yang didapati tidak lagi berkesan wajar diteliti semula dan ditambah baik. 

“Permudahkanlah proses permohonan bantuan kepada rakyat. Begitu juga permohonan daripada para peniaga, pengusaha dan pelabur. Setiap permohonan harus dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya. 

“Jika dahulu urusan-urusan harian dan mesyuarat hanya boleh dijalankan secara bersemuka, kini kebanyakannya sudah dapat dijalankan di atas talian. Jadi, kita juga perlu mengadaptasi dan menyesuaikan diri dalam norma baharu supaya kita lebih peka dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perjumpaan Khas bersama penjawat awam di Kuching, Sarawak, hari ini.                               

Muhyiddin berkata, antara cabaran terbesar dalam aspek penyampaian perkhidmatan kerajaan ialah bagaimana hendak menyampaikan perkhidmatan dan pelbagai bentuk bantuan terutamanya kepada orang awam yang berada di kawasan pedalaman yang masih agak terbatas kemudahan seperti infrastruktur asas dan capaian internet. 

Kata beliau, menyedari peri penting sektor perkhidmatan awam sebagai pemangkin dalam menggerakkan pembaharuan khususnya dalam bidang pendigitalan, kerajaan komited dalam memacu transformasi digital ke arah Revolusi Industri 4.0 (4IR). 

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara  ditubuhkan bertujuan menetapkan dasar, pelaksanaan dan pemantauan strategi serta inisiatif ekonomi digital dan 4IR di Malaysia.

“Februari lalu, kerajaan memperkenalkan pelan MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia untuk memacu transformasi digital sektor awam. 

“Ini termasuklah usaha untuk melahirkan 100 peratus penjawat awam celik digital dan 80 peratus perkhidmatan kerajaan secara dalam talian dari peringkat awal ke akhir menjelang tahun 2025,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, soal integriti  dalam kalangan anggota perkhidmatan awam tidak harus dikompromi kerana ia merupakan penanda aras keyakinan rakyat terhadap sektor awam dan kerajaan secara amnya.

Katanya, sebagai sebahagian daripada anggota perkhidmatan awam perlu menjalankan segala tugas dan amanah dengan berteraskan prinsip integriti. 

“Di pihak kerajaan, pelbagai langkah turut diambil dalam membanteras amalan rasuah dan memastikan urus tadbir yang cekap dan telus merentasi kementerian dan agensi. 

“Antaranya seperti penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 serta meningkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan awam bagi mengelakkan daripada berlakunya ketirisan dana awam,” katanya.

Beliau pada masa sama  mengajak kumpulan anggota sektor awam memperkukuh budaya kerja berintegriti semasa menjalankan tugasan seharian sekali gus produktiviti kerja dapat ditingkatkan supaya sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tercapai dan melahirkan sebuah masyarakat sifar rasuah dan terhindar daripada gejala penyelewengan amanah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN