KSEPT prasarana digital ilmiah sehenti - Noraini Ahmad

KSEPT prasarana digital ilmiah sehenti – Noraini

NORAINI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi (KSEPT) diharapkan dapat meneruskan agenda bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan pendidikan tinggi dalam aspek penyediaan sumber khazanah ilmu kepada warga pendidikan tinggi dan orang awam. 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, beliau juga berkeyakinan hala tuju konsortium itu akan fokus kepada inisiatif membangunkan prasarana digital ilmiah sehenti yang menjadi rujukan rakyat Malaysia dan komuniti global.

Katanya, ia juga dilihat mampu membantu menjadikan lebih ramai rakyat Malaysia berpendidikan tinggi dan memajukan negara. 

“Saya sedar bahawa untuk mencapai matlamat ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun, jika semua berganding bahu, bekerjasama dalam satu kefahaman dan tujuan, saya percaya tiada perkara yang mustahil untuk kita capai.

“Dalam perspektif di kementerian, kita juga perlu berani mencabar status quo, membuat perubahan minda, melakukan anjakan paradigma, berfikir di luar kotak serta berkongsi sumber dan kepakaran,” katanya ketika berucap sempena majlis pelancaran Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi di sini hari ini.

Noraini berkata, sejak enam tahun lalu, Pusat Sitasi dan Infometrik (PSI) telah menyediakan akses kepada pangkalan data Scopus untuk keseluruhan 20 Universiti Awam (UA). 

Katanya, sumber maklumat ini menjadi rujukan penting kepada penyelidik di Malaysia untuk menjana penerbitan berimpak melalui jurnal berkualiti yang diindeks oleh Scopus. 

“Sepanjang tempoh Covid-19, ternyata output penerbitan ilmiah Malaysia masih meningkat dan mencapai 38,728 dokumen pada tahun 2020 berbanding 37,866 pada tahun 2019. 

“Malah sehingga 15 Mac 2021, penyelidik Malaysia telah berjaya menghasilkan 6,374 penerbitan terindeks sebagaimana dilaporkan di dalam pangkalan data Scival pada 22 Mac 2021,” katanya.

Tambahnya, semua UA menunjukkan komitmen tinggi dalam menyediakan prasarana maklumat berkualiti dan berdaya saing untuk kelestarian ekosistem pendidikan tinggi, serta menjadi hab pendidikan tinggi di rantau ini. 

Katanya, perkhidmatan yang disediakan UA telah memanfaatkan ramai pelajar, staf akademik dan penyelidik dalam tempoh pandemik Covid- 19. 

“Malah, sepanjang tahun 2020, lebih 12.6 juta muat turun dan rujukan teks penuh telah dilakukan oleh komuniti pendidikan tinggi dan kita sedia maklum, setiap universiti mempunyai kekuatan koleksi rujukan yang unik berasaskan bidang tujahan masing-masing. 

“Perkongsian sumber maklumat ilmiah antara UA telah dijayakan melalui pelbagai pelantar perkongsian sumber termasuklah Malaysian University Libraries & National Library Network atau singkatannya MyUniNet; Malaysian Theses Online (MyTO); Malaysian Academic Library Repositories (MALRep); dan Malaysian Academic Library Catalogue (MALCat). Kesemua pelantar ini menyediakan ‘seamless and integrated digital access’ kepada bahan ilmiah UA seperti artikel jurnal, kertas kerja persidangan, buku elektronik (ebooks) dan tesis pelajar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya