Kritikan tidak gugat perpaduan dalam BN - Utusan Malaysia

Kritikan tidak gugat perpaduan dalam BN

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kenyataan lantang dan keras yang dikeluarkan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) diyakini tidak memberi kesan atau menjejaskan kesepakatan dalam gabungan itu yang sudah sekian lama terjalin.

Mengulas mengenai perkara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya, kritikan atau pandangan dilontarkan tidak akan menggugat perpaduan serta persefahaman sedia ada dalam BN.

Kata beliau, semua kenyataan sama ada pemimpin MIC atau MCA yang dikeluarkan itu dapat diuruskan dengan baik dalam BN berbekalkan semangat setiakawan.

“Memang dari dulu pun masa kita jadi kerajaan, kenyataan dibuat parti komponen agak keras tapi kita tidak pernah berpecah pun. Bila parti kita kalah banyak parti lain tinggalkan kita tapi MIC dan MCA terus kekal bersama kita.

“Jadi perbezaan pandangan sama sekali tidak akan memecah belahkan kita dalam BN,” katanya ketika ditemui selepas Program Bangkit 15 UMNO Negeri Johor di Hotel Trove di sini, kelmarin.

Sebelum ini, MIC memberi gambaran seolah-olah parti itu tidak bersetuju dengan keputusan UMNO yang memutuskan BN akan bertanding bersendirian pada PRU-14 seperti dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran menegaskan BN dan Perikatan Nasional (PN) perlu digabungkan selain parti itu akan terus menyokong pentadbiran kerajaan PN diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga keputusan muktamad Majlis Tertinggi BN.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Pengerusi Biro Latihan dan Perkaderan UMNO mahu UMNO Johor kembali bangkit dan memenangi lebih banyak kerusi pada PRU-15, nanti.

Beliau berkata, UMNO Johor perlu bangkit kembali bagi menguasai kerajaan memandangkan Johor merupakan negeri tempat kelahiran parti keramat orang Melayu.

“Johor memang daripada dahulu menjadi benteng kekuatan UMNO. Seperti yang kita tahu, UMNO ditubuhkan di Johor, jadi UMNO Johor perlu bangkit kembali menguasai kerajaan.

Walaupun sekarang memang UMNO menjadi kerajaan di Johor tetapi kali ini kita percaya UMNO akan menang lebih besar di negeri ini,” katanya.

Johor di bawah pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini menyaksikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar ke-18 dengan gabungan itu memiliki 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya