Abdul Hamid nafi 'dipegang' suspek pukul bodyguard

KPN nafi ‘dipegang’ suspek pukul bodyguard

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya sama sekali tidak mengenali lelaki itu,”

Demikian penegasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung dakwaan beliau ‘dipegang’ salah seorang suspek yang memukul dua pe­ngawal peribadi dipukul majikan kerana berpuasa pada 15 April lalu.

Tegas Abdul Hamid, sudah menjadi kebiasaan dalam kala­ngan sindiket untuk lepaskan kata-kata sedemikian untuk menggertak seseorang.

“Memang saya tidak kenal dia. Agaknya memang menjadi kebiasaan mereka untuk guna nama sesiapa di Polis Diraja Malaysia untuk menakut-nakutkan,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Terdahulu, tular satu laporan polis yang dibuat dua pengawal peribadi terbabit yang mana majikan mereka bertindak meng­ugut sama ada mereka akan membuat laporan berhubung kejadian pukul itu atau tidak memandangkan Ketua Polis Negara telah ‘dipegang’ olehnya.

Pada 16 April lalu, Polis Se­langor menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, berkongsi dan menyebar berita daripada sumber yang tidak sahih berhubung insiden dua pengawal peribadi dipukul majikan kerana berpuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya juga menasihati masyarakat supa­ya tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri dan mengeruhkan keadaan.

Dalam kejadian 14 April lalu, kedua-dua pengawal peribadi tersebut ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya majikan mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi Residensi One KL, Jalan Pinang, di sini.

Kedua-dua mangsa kemudian mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, Selangor, sebelum dipukul de­ngan sebatang rotan serta diacu pistol.

Susulan itu, sebanyak lima individu ditahan bagi membantu siasatan membabitkan empat di Klang Selatan manakala seorang di Kuala Lumpur kerana terlibat dalam kes pukul dua pegawal peribadi.

Penahanan itu telah membongkar kepada penemuan 100 kilogram jongkong emas dalam rumah salah seorang suspek di Bukit Tinggi dekat sini.

Turut ditemukan adalah 12,500 keping not kertas AS$100 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM28.25 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya