KPDNHEP Selangor, MPOB serbu pusat kumpul sawit manipulasi alat timbangan - Utusan Malaysia

KPDNHEP Selangor, MPOB serbu pusat kumpul sawit manipulasi alat timbangan

PENGUATKUASA KPDNHEP Selangor memeriksa penimbang sewaktu operasi Timbang Sawit oleh KPDNHEP Negeri Selangor di Kuala Selangor pada hari ini. UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Taktik licik sebuah pusat pengumpulan dan pembelian kelapa sawit di Kampung Sungai Yu di sini yang memanipulasi alat timbangan bagi mengaut keuntungan sejak sebulan lalu, berjaya dikesan.

Perbuatan syarikat itu dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang menyerbu premis itu kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Difahamkan, syarikat itu meletakkan sukatan timbangan lebih rendah ke atas lori pengangkut sawit berbanding jumlah berat sebenar.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, Ops Timbang Sawit itu dilakukan hasil maklumat dan intipan pihaknya berkaitan kewujudan isu penipuan timbangan buah kelapa sawit.

Menurutnya, pihaknya bersama MPOB telah melakukan risikan sejak sebulan lalu dan mendapati sepanjang tempoh itu, pusat pengumpulan tersebut melakukan manipulasi.

“Siasatan awal mendapati premis ini memanipulasi alat timbang dengan mengurangkan lima peratus berat sawit iaitu sehingga 250 kilogram (kg).

“Sistem sukatan secara elektronik ini sekaligus mengakibatkan bayaran kepada pekebun kecil lebih rendah berbanding jumlah sebenar. Buat masa ini, kita sedang menjalankan siasatan berapa lama pusat ini melakukan aktiviti manipulasi tersebut,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan MPOB, Iptisam Abd. Wahab.

Menurut Muhamad Zikril, kes disiasat mengikut Seksyen 20A (1) (e) Akta Timbang dan Sukat 1972 iaitu membuat perubahan kepada alat timbang atau sukat sehingga menyebabkan ia menjadi tidak tepat.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM40,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kita turut merampas peralatan yang digunakan syarikat itu bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihaknya turut mengambil tindakan ke atas tiga syarikat lain yang melakukan kesalahan sama sejak pelaksanaan operasi bersepadu itu bermula kelmarin.

“Serbuan di sekitar Kuala Langat ini melibatkan nilai rampasan berjumlah RM95,000. Selain itu, MPOB juga mengambil tindakan ke atas enam kes untuk tindakan lanjut.

“Kita memberi amaran kepada semua peniaga yang membeli sawit dan memiliki alat timbang agar tidak mengambil kesempatan ke atas pekebun berikutan harga yang meningkat ketika ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya