TAIPING: Seorang peniaga di sini yang menjual lima biji kuih pada harga RM1 tidak menyangka jualannya laris selepas kisahnya tular dalam media sosial.
Chek Nah Husain,71, yang berniaga beraneka jenis kuih di Kampung Jana Baharu di sini berkata, pada awalnya dia tidak tahu tahu kisahnya menjual kuih serendah lima biji RM1 tular.
“Saya hairan kerana sejak semalam, tiba-tiba saya menerima panggilan telefon daripada pelanggan yang mahu membuat tempahan membeli kuih hari ini dan rasa bersyukur.
“Belumpun sempat saya membuat dan menjual, kuih-muih telah habis.
“Saya anggap ini adalah pertolongan Allah kepada kami dua beradik di bulan Ramadan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Jalan Baru Kampung Pinang, Kamunting di sini hari ini.
Chek Nah yang hidup dalam keadaan kekurangan kini tinggal bersama kakaknya, Siti Habsah di rumah milik adik kandung mereka.
Katanya, dia yang menghidap kanser payu dara menjalani pembedahan awal tahun ini dan setelah pembedahannya sembuh, dia meneruskan perniagaan menjual kuih di gerai yang terletak kira -kira 100 meter dari rumahnya.
“Kuih yang saya buat antaranya kuih lapis, karipap, seri muka dan lepat yang dijual pada harga lima biji RM1.
“Di samping itu terdapat pelbagai berbagai jenis kuih lain yang diletakkan oleh pembuat kuih di gerai saya dan saya hanya dapat komisyen,” katanya.
Tambanya, harga jualan kuihnya iaitu lima biji RM1 kekal sejak dia mula berniaga beberapa tahun lalu.
“Saya masih kekalkan dengan harga itu, bagi saya soal untung itu adalah keberkatan dari Allah. Dengan menjual murah, semua orang boleh membeli kuih ini,” katanya.
Sementara itu, kesusahan hidup Chek Nah mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyampaikan sumbangan barangan dan bahan keperluan untuk membuat kuih serta wang tunai.
Sumbangan disampai olehj Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Kampit Rezeki Perak, Qolbin Salim Sulaiman kepada Chek Nak di sini hari ini.
Orang ramai yang ingin membantu, boleh memberi sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 08228-41-00010553-3 atas nama Chek Nah Husain. – UTUSAN ONLINE