Kes SRC International: Untuk kepentingan siapa? - Pendakwaan

Kes SRC International: Untuk kepentingan siapa? – Pendakwaan

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pembelaan bahawa tindakan menyegerakan segala urusan berkaitan SRC International Sdn. Bhd. kerana ia membabitkan kepentingan negara dalam mencari tenaga yang boleh diperbaharui tidak boleh diterima akal kerana ia tidak disokong oleh mana-mana fakta.

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V. Sithambaram ketika berhujah menyifatkan tindakan tersebut kelihatan lebih seperti satu penipuan.

“Di mana sebenarnya kepentingan tersebut atau keinginan untuk mengetahui mengenai tenaga diperbaharui? Ada sesuatu yang tidak kena dan pastinya ia bukan untuk kepentingan negara. RM4 bilion wang pesara hangus. Kenapa perlu nak percepatkan semuanya? Segera tubuh syarikat, segera dapatkan dana. 

“Apa yang saya ingin katakan ialah pembelaan bahawa semua ini adalah untuk kepentingan negara tidak tercapai oleh akal mahupun disokong oleh mana-mana fakta. Mana fakta yang menyokong (kepentingan negara), tiada. Yang pastinya, ia kelihatan seperti satu penipuan,” hujahnya.

Pendakwa Raya itu berhujah demikian ketika membuat hujahan balas terhadap rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.

Terdahulu, Sithambaram menyatakan, telah menjadi mantera pihak pembelaan bahawa tindakan Najib menyokong permohonan SRC International meminjam RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan pengeluaran dua Jaminan Kerajaan atas pinjaman ‘demi kepentingan negara’.

Bagaimanapun, keterangan perayu (Najib) sendiri yang menunjukkan bahawa Ahli Parlimen Pekan itu tidak berminat untuk mengetahui apa yang terjadi dengan dana yang kononnya untuk kepentingan negara selepas SRC International menerima wang tersebut. 

“Perayu terlibat dengan aktif ketika memastikan bahawa dana daripada KWAP diterima oleh SRC International namun selepas syarikat terbabit menerima dana tersebut, tindakan perayu bertukar dan langsung tidak mempersoalkan SRC International mengenai wang tersebut.

“Kenapa? Satu-satunya jawapan yang boleh diberikan ialah selepas perayu telah berjaya memenuhi perancangan awalnya untuk mendapatkan RM4 bilion untuk SRC International, tidak mengambil peduli mengenainya kecuali RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akaunnya dan RM3 bilion dimasukkan ke dalam akan di Bank Swiss,” katanya.

Keterangan Najib itu langsung tidak memberikan keyakinan bahawa pinjaman RM4 bilion tersebut adalah untuk mendapatkan teknologi tenaga yang boleh diperbaharui untuk negara ini.

Rayuan yang memasuki hari kelapan dan yang didengar oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Abdul Karim Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Vazeer bersambung Isnin ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya