Kes positif masih lebih 2,000 - Noor Hisham Abdullah

Kes positif masih lebih 2,000 

KES positif Covid-19 terus meningkat hari ini apabila sebanyak 2,331 kes direkodkan melebihi kes sembuh. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan peningkatan kes positif baharu Covid-19 melebihi 2,000 kes apabila merekodkan 2,331 kes semalam, mengatasi kes sembuh iaitu 1,832 kes. 

Sebanyak lapan kluster dan lima kematian direkodkan manakala kes aktif menunjukkan peningkatan kepada 19,094 kes berbanding 18,600 kes kelmarin dan 17,575 kes sehari sebelum itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 225 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 92 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, Selangor kembali menjadi negeri tertinggi merekodkan kes positif baharu iaitu 751 kes diikuti Sarawak, 512 kes; Kuala Lumpur, 252 kes; Kelantan, 225 kes; Sabah, 163 kes; Pulau Pinang, 116 kes dan Johor, 100 kes.

“Empat negeri merekodkan kes dua angka iaitu Negeri Sembilan, 89 kes; Kedah, 45 kes; Perak, 42 kes dan Pahang, 20 kes.

“Baki negeri pula, Melaka, sembilan kes; Putrajaya, empat kes; Labuan, dua kes; Perlis, satu kes dan Terengganu, sifar kes,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr. Noor Hisham berkata, lima kematian melibatkan warga tempatan dengan Selangor dan Sabah masing-masing dua kes manakala Sarawak, satu kes. 

“Kes melibatkan dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 61 hingga 86 tahun. Pelbagai latar belakang penyakit dikesan iaitu darah tinggi, kencing manis, dislipidemia, jantung, buah pinggang kronik, strok dan obesiti,” katanya. 

Mengulas mengenai lapan kluster, beliau berkata, ia melibatkan empat kluster tempat kerja, tiga kluster sekolah atau institusi pendidikan Kementerian Pendidikan dan satu kluster komuniti.

Empat kluster tempat kerja katanya, Kluster Jalan Ding Lik Kwong di Sibu, Sarawak, 16 kes; Kluster Jalan Damai Tawau di Tawau, Sabah,  14 kes serta Kluster Bukit Quoin di Tawau, Sabah, 11 kes dan Kluster Jalan Wawasan Lima di Batu Pahat, Johor, 10 kes. 

“Tiga kluster sekolah atau institusi pendidikan pula, Kluster Ulu Balingian di Selangau, Sarawak,101 kes serta Kluster Jalan Disa di Sibu, Sarawak,  20 kes dan Kluster Jalan Maktab melibatkan Sepang dan Hulu Langat, Selangor serta Putrajaya, sembilan kes. 

“Kluster komuniti pula, Kluster Seri Kuantan melibatkan Kuantan, Pahang serta Cheras, Kuala Lumpur, 18 kes,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN