Kes Najib: Mahkamah tegur peguam ulang, tidak beri hujah substantif

Kes Najib: Mahkamah tegur peguam ulang, tidak beri hujah substantif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Panel Hakim Mahkamah Rayuan hari ini menegur tindakan salah seorang peguam Datuk Seri Najib Razak yang masih mengulangi hujah yang sama diberikan pada peringkat awal prosiding rayuan bekas Perdana Menteri itu.

Teguran tersebut diberikan oleh Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim itu ketika peguam, Harvinderjit Singh memberikan jawapan terhadap hujahan balas pihak pendakwaan.

“Kami bukannya menghalang awak untuk berhujah tetapi awak telah berhujah perkara sama, ulang, ulang, ulang lagi. Hujahkan sesuatu yang substantif bagi menyangkal hujah balas pendakwaan. 

“Jangan ulang perkara yang sama. Hujah sesuatu yang akan membuatkan kami (panel hakim) ingat, berfikir mengenainya dan bukannya buat ia hilang dari fikiran kami,” kata Hakim Abdul Karim.

Teguran tersebut diberikan sewaktu Harvinderjit memohon penangguhan selama beberapa minit sebelum menyambung hujahnya menyebabkan panel hakim itu bertanya sama ada pembelaan akan menggulung kes mereka seperti mana yang dijanjikan sebelum ini.

Untuk rekod, rayuan tersebut sepatutnya tamat pada 22 April lalu namun diberikan tambahan selama dua hari bagi membolehkan pembelaan menjawab kepada hujah balas pendakwaan dan menggulung rayuan mereka.

Harvinder selepas ditegur dilihat memberikan alasan bahawa hujahnya adalah bagi menjawab soalan panel hakim sebelum ini menyebabkan Hakim Abdul Karim kembali ‘menegurnya’. 

“Semua yang awak hujahkan ini, semua yang awak tunjukkan ini untuk menyangkal apa, bagi pertuduhan mana, untuk timbulkan keraguan di mana. Perkara yang paling penting ialah bagi kami (panel hakim) jelas, boleh melihat (rayuan) dengan lebih jelas, jika tidak celaru nanti.

“Hujahkan sesuatu yang substantif seperti yang Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah buat pagi tadi. Tunjukkan perkara yang penting,” ujar hakim itu.

Peguam itu kemudian memaklumkan beliau akan mengambil masa sekurang-kurangnya separuh hari untuk menghabiskan hujahannya sebelum penggulungan dibuat oleh Muhammad Shafee.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V. Sithambaram mencelah dan menyatakan hujahan Harviderjit hari ini seolah-olah hujahan hari pertama dan turut menyentuh isu yang tidak dinyatakan sewaktu hujahan balas.

Beliau juga sempat berjenaka sekiranya pembelaan berterusan mengambil ‘masa tambahan’, rayuan tersebut berkemungkinan akan berterusan sehingga sambutan raya haji. Umat Islam akan menyambut Aidiladha pada 20 Julai ini.

Mahkamah kemudian menetapkan rayuan tersebut bersambung 6 Mei ini. Sebelum mahkamah berhenti bersidang, Hakim Abdul Karim sekali lagi memberikan peringatan kepada pembelaan untuk menggulungkan hujah mereka pada tarikh tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya