PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 11 Mei bagi perkembangan kes dua pengarah syarikat termasuk seorang bergelar Datuk yang tular dalam pergaduhan di sebuah restoran di Tropicana Avenue, Damansara, tiga bulan lalu.
Majistret Nurshahira Abdul Salim menangguhkan keputusan ke tarikh lain selepas dimaklumkan bahawa terdapat perkembangan baharu berhubung kes berkenaan.
Sepatutnya, mahkamah menetapkan hari ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh iaitu Datuk Tan Wai Khan, 42, dan rakannya Ang Mow Loong, 40, yang mengaku bersalah terhadap dua tuduhan mendatangkan kecederaan dan melakukan kacau ganggu di sebuah restoran, Januari lalu.
Bagaimanapun, peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh memaklumkan pihaknya menerima maklumat bahawa pemilik restoran dalam kejadian itu menarik balik aduan berhubung tuduhan yang dikenakan terhadap Wai Khan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Ketika didakwa, Wai Khan mengaku tidak bersalah melakukan khianat dengan cara memecahkan pinggan mangkuk milik Kwan Pei Choong, 31.
“Kerana terdapat perkembangan baharu, saya mohon mahkamah memberi peluang agar pertuduhan tersebut (Seksyen 427) dikaji semula,” katanya.
Ketika prosiding, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Atifah Hazimah Wahab berkata, pihaknya memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen dan arahan lanjut.
Mengikut pertuduhan, Wai Khan dan Mow Long didakwa secara bersama dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan cara memukul Pei Choong, 31, di Restoran Steamboat TST, Tropicana Avenue, Damansara pukul 9 malam, 12 Januari lalu. – UTUSAN