PETALING JAYA: Kerajaan diminta menguatkuasakan langkah-langkah perlindungan bagi melindungi para penunggang penghantar makanan atau p-hailing.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, walaupun Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong telah mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan peraturan baru untuk mengawal selia sektor p-hailing ini tepai ia sapatutnya bukan untuk menekan golongan itu.
Sebaliknya kata beliau kerajaan perlu melihat kepada bagaimana mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan selamat bagi rider sektor p-hailing.
“Jangan terlalu menekan rider dengan pelbagai kekangan baru dan sebaliknya melihat kepada bagaimana untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan selamat bagi rider sektor p-hailing,” katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini kerajaan telah melaporkan bahawa sepanjang setahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lebih dua pertiga daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal melibatkan penunggang penghantaran barangan dan makanan ataupun rider p-hailing.
Untuk kata Steven, antara langkah-langkah perlindungan yang patut dikuatkuasakan oleh kerajaan termasuk:
- Memberi insentif bersasar kepada rider p-hailing agar mereka mencarumkan diri di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri 2017 untuk perlindungan diri.
- Mewajibkan syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran menyediakan alat-alat keselamatan rider yang memenuhi piawaian.
- Melaksanakan sistem upah yang lebih baik kepada rider.
- Melaksanakan insentif masa penghantaran lebih munasabah yang tidak memaksa rider bergegas mengejar masa dan terburu-buru menghantar barangan/makanan.
- Melaksanakan sistem rating yang lebih adil dan mengutamakan keselamatan rider terutamanya semasa di jalan raya.
- Mewujudkan sebuah tribunal bebas bagi sektor p-hailing (dan e-hailing) untuk mengendalikan rayuan dan aduan permasalahan antara rider dengan syarikat agar tidak wujud ketidakadilan dalam proses pengadilan yang pada masa kini dilaksanakan secara dalaman oleh pihak syarikat.