Kerajaan jamin Parlimen kembali bersidang selepas Darurat tamat

Kerajaan jamin Parlimen kembali bersidang selepas Darurat tamat

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan Parlimen kembali bersidang sebaik sahaja Proklamasi Darurat ditamatkan, namun mengambil kira pandangan beberapa pakar khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, respons tersebut merupakan tindakan segera berikutan gesaan beberapa pihak termasuk parti politik yang ingin Parlimen kembali bersidang seperti biasa.

Jelasnya, kerajaan menyedari tanggungjawab tersebut, namun keutamaan dari segi keselamatan harus dipelihara supaya dapat membendung penularan wabak Covid-19 dengan baik.

“Kerajaan amat menyedari tanggungjawab keperlembagaan (constitutional responsibilities) untuk memastikan penerusan proses demokrasi di negara ini terjamin melalui sidang Parlimen, namun keutamaan yang diberikan pada masa ini adalah usaha memastikan penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya termasuklah melindungi aspek kesihatan ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen.

“Kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera dipanggil apabila tiba masanya yang sesuai sama ada sebelum ataupun selepas Darurat ditamatkan pada 1 Ogos 2021 nanti. Namun demikian perkara ini bergantung kepada nasihat dan pandangan pakar yang akan diperolehi oleh kerajaan dari semua pihak yang berkenaan terutamanya Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Takiyuddin dalam masa yang sama turut menjelaskan yang semua pihak termasuk pembangkang boleh memberi sebarang pandangan kepada kerajaan menerusi saluran yang dibenarkan termasuk melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Darurat bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai hal-hal berkaitan kuat kuasa Darurat.

“Tidaklah wajar wujud kesangsian atau syak wasangka berlakunya salah guna kuasa kerana sistem kerajaan berfungsi sebagaimana biasa termasuklah dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak penguat kuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC).

“Justeru semua pihak diseru supaya memberikan sepenuh kerjasama kepada kerajaan dalam usaha giatnya demi memastikan survival hidup dan kehidupan rakyat melalui aspek-aspek kesihatan, ekonomi dan sosial,” ujarnya lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat, Khalid Abdul Samad sebelum ini telah menyerahkan surat permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penamatan Proklamasi Darurat.

Perkara itu disokong beberapa pimpinan lain termasuklah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

UMNO dalam kenyataannya semalam turut menggesa perkara yang sama agar Parlimen kembali bersidang selaras dengan titah Tuanku bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh Darurat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya