Kepuasan pelanggan keutamaan Proton - Utusan Malaysia

Kepuasan pelanggan keutamaan Proton

Roslan Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Penularan wabak Covid-19 sememangnya memberi impak kepada hampir semua industri di negara ini, tambahan pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang secara tidak langsung menyekat pengeluaran produk.

Perkara sama turut terjadi kepada industri automotif negara sebelum kerajaan membenarkan industri tersebut terus beroperasi semasa PKP. Ia membantu syarikat automotif negara, Proton untuk terus berdaya saing dan mengeluarkan beberapa model baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd. (PESB), ROSLAN ABDULLAH berkata, insentif kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi negara (Penjana) yang memberi pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi kereta pemasangan tempatan (CKD) amat membantu meningkatkan jualan walaupun dalam tempoh pandemik.

Ujarnya, Proton juga dalam usaha memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) di pasaran negara dan kini sedang membuat kajian penerimaan rakyat terhadap teknologi tersebut.

“Kita menunggu peluang dan sokongan daripada pihak kerajaan sebelum dapat merealisasikannya,” katanya.

Ikuti temu buat beliau bersama wartawan, NURFARAHIN HUSSIN yang dijalankan secara maya, baru-baru ini.

UTUSAN: Bagaimanakah prestasi jualan Proton dalam tempoh pandemik tahun lalu dan setakat tahun ini.
ROSLAN: Walaupun berdepan pandemik pada Mac tahun lalu, penjualan kereta Proton meningkat kepada 109,716 unit berbanding 100,821 pada tahun 2019. Keputusan memberangsangkan ini turut dipacu Pelan Jana Semula Ekonomi negara (Penjana) diperkenal kerajaan tahun lalu yang memberi pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi kereta pemasangan tempatan (CKD).

Penjualan suku pertama (Q1) melonjak lebih dari 10,000 unit berbanding tahun lalu manakala prestasi penguasaan pasaran mencecah 23.6 peratus iaitu tertinggi sejak 2012. Ini adalah hasil pelaburan Proton dalam produk baharu, peningkatan kualiti binaan dan rangkaian peniaga kami yang diperbaharui di mana kini terdapat 142 pusat 3S/4S di seluruh negara. Untuk tahun ini, kita berada di landasan yang betul dan kami mengharapkan lebih baik dari 2020.

Bagaimana Proton melihat prestasi eksport dalam beberapa bulan akan datang?
Kami mengharapkan peningkatan jumlah eksport setiap bulan. Namun, itu semua turut bergantung kepada proses penghantaran. Kita tidak boleh meletakkan sasaran terlalu tinggi kerana permintaan domestik yang tinggi dan isu pandemik. Jadi, buat masa ini kita masih kekalkan pasaran eksport ke enam negara sahaja iaitu Pakistan, Brunei, Bangladesh, Nepal, Kenya dan Mesir.

Penularan wabak semakin meningkat, jadi bagaimana keadaan ini mempengaruhi sentimen pembeli dalam industri automotif?
Kes Covid-19 memang masih dalam tahap membimbangkan dan Proton sentiasa mengambil tahu keadaan semasa terutamanya di lokasi kilang kami di Selangor dan Perak. Dalam keadaan ini, kami perlu memastikan proses pengeluaran produk tidak terjejas bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Saya yakin pengguna telah menyesuaikan diri dengan norma baharu dan dari segi perbelanjaan, keyakinan pengguna masih ada. Ini turut disokong insentif Penjana jadi mereka boleh membeli kereta dengan harga yang rendah, namun, kita perlu memikirkan strategi baharu apabila insentif tersebut tamat Jun ini. Selain itu, institusi perbankan juga dilihat menyokong ekonomi dengan meluluskan pinjaman kepada rakyat supaya rantaian ekonomi terus berjalan.

Bagaimana dengan perancangan untuk menghasilkan kenderaan elektrik (EV)?
Saya rasa kita sudah bersedia untuk itu tetapi kita tidak boleh melakukannya tanpa bantuan kerajaan. Sebaik sahaja ‘pintu terbuka,’ kami akan teruskan. Kami sekarang sedang menilai dan mengkaji sama ada Malaysia telah bersedia dengan kehadiran produk EV, penetapan harga yang sesuai dan sebagainya.

Dari segi produk EV, kita perlu melihat kemampuan kita dapat mengeksport produk tertentu ke negara-negara jiran yang mempunyai arah yang jelas mengenai EV. Kita sebagai pengilang tidak dapat bergerak sebelum kita memahami peraturannya. Jika peraturan dan pelaburannya memberi pulangan yang baik untuk pemegang taruh, mengapa tidak? Oleh itu kita perlu tahu peraturan dan hala tuju yang ditetapkan kerajaan.

Apakah anda ingin menubuhkan syarikat baru hanya untuk memberi tumpuan kepada EV dan lain-lain?
Terlalu awal untuk memberitahu. Sungguh menarik. Semua pilihan ada. Mari kita selesaikan produk terlebih dahulu. Pada modul perniagaan, kami ingin mengatur bagaimana kami dapat memberi manfaat kepada pengguna dan juga pihak berkepentingan.

Adakah teknologi EV yang dibawa oleh Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely) sesuai dengan pasaran negara?
Perkembangan teknologi mereka adalah berdasarkan pengalaman mereka dalam pasaran China. Jadi, itulah sebabnya kita perlu membuat kajian sendiri sama ada kita telah ke arah itu. Produk EV baik untuk persekitaran jadi kita perlu meneroka dan mengambil bahagian.

Kami boleh membawa teknologi tersebut tetapi apa yang akan berlaku selepas penjualan lima tahun akan datang itu penting. Kami bukan hanya melihat kepada penjualan produk sahaja tetapi pengalaman pelanggan ketika mereka memiliki kereta. Kami tidak dapat memberikan jawapan yang tepat kerana kajian untuk melihat berapa banyak pengguna yang mampu memiliki EV. Ini kerana, pasaran automotif Malaysia adalah berdasarkan kemampuan pembeli.

Bagaimana untuk Proton terus kekal sebagai peneraju pasaran?
Kita perlu sentiasa memerhatikan keadaan semasa kerana apabila kita terus maju, pesaing juga akan turut meningkatkan prestasi mereka. Bagi kami, penambahbaikan perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Rakyat sentiasa memerhatikan Proton dan mahu kita sentiasa terbaik seperti di awal kemunculan.

Oleh itu kita harus pastikan kelangsungan perniagaan, rantaian bekalan, pengeluaran, penghantaran kepada pelanggan dan perkhidmatan selepas penjualan yang terbaik kepada pelanggan Proton. Kepuasan pelanggan adalah menjadi keutamaan kami. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya