Kedah, Pulau Pinang harus hentikan perbalahan mengenai Sungai Muda

Kedah, Pulau Pinang harus hentikan perbalahan mengenai Sungai Muda

FoUM mahu perbalahan mengenai air mentah membabitkan Sungai Muda diketepikan oleh Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang untuk kebaikan bersama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Perbalahan mengenai bekalan air mentah membabitkan Sungai Muda perlu diketepikan oleh Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang malah kedua-duanya perlu bertolak ansur mencari cara melindungi dan berkongsi sumber air dari sungai berkenaan secara usaha sama. 

Presiden Sahabat Alam Malaysia Merangkap Sekretariat Sahabat Ulu Muda (FoUM), R. Meenakshi berkata, ini kerana ketika perdebatan panas berlaku antara kedua-dua negeri, air dari hulu Sungai Muda iaitu Kompleks Hutan Ulu Muda terus terancam berikutan kegiatan pembukaan hutan, pembalakan dan perlombongan. 

Jelas beliau, air sungai yang berpunca dari Kompleks Hutan Ulu Muda bukan milik eksklusif mana-mana pihak tetapi merupakan sumber yang dimiliki bersama. 

“Ia amat penting bagi bekalan air minuman kepada Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, pengairan sawah padi dan pemacu utama untuk pembangunan lestari,” katanya menerusi surat rasmi yang dihantar kepada kedua-dua kerajaan negeri hari ini. 

Sebelum ini, berlaku pertikaian antara Kedah dan Pulau Pinang mengenai isu bekalan air membabitkan Sungai Muda yang merupakan sumber bekalan air untuk kedua-dua negeri. 

Menurut Meenakshi, dalam usaha bergerak ke hadapan, FoUM menyarankan kedua-dua kerajaan negeri melantik pengantara bebas, cekap, amanah dan neutral untuk mengendalikan perbincangan di antara kedua-dua kerajaan negeri. 

Selain itu katanya, kedua-dua kerajaan negeri juga disaran berunding dengan pakar mengenai bayaran perkhidmatan ekosistem (PES) berasaskan air bagi mendapatkan nasihat teknikal mengenai bagaimana untuk mewujudkan skim PES bagi kawasan tadahan air Sungai Muda. 

“Kedua-dua kerajaan negeri perlu berbincang dan mencapai persetujuan bersama mengenai skim PES di mana pengguna utama air Sungai Muda menyumbang dana bagi perlindungan kawasan tadahan air sungai yang kritikal iaitu Kompleks Hutan Ulu Muda,” katanya. 

Tambah beliau, FoUM juga mencadangkan tabung amanah pemuliharaan Ulu Muda diwujudkan untuk mengendalikan dana yang diterima bagi perlindungan Kompleks Hutan Ulu Muda. 

“Lembaga pemegang amanah ini perlu bersepakat mengenai bagaimana tabung itu harus digunakan dengan tujuan untuk melindungi kawasan tadahan air,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya