Kedah perlu ambil tindakan henti segera pembalakan Bukit Kerawai 

Kedah perlu ambil tindakan henti segera pembalakan Bukit Kerawai 

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Kedah mengambil tindakan menghentikan segera aktiviti pembalakan di Bukit Kerawai, Sik, Kedah kerana mengancam sumber bekalan air masyarakat bagi kegunaan penduduk-penduduk di kawasan itu. 

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, CAP kesal dengan kejadian tersebut dan bersimpati dengan nasib 200 penduduk Kampung Kerawai dan Kampung Tanah Liat kerana terpaksa menggunakan air berlumpur dari kawasan pembalakan berkenaan. 

Tambahnya, CAP bimbang pencemaran sisa lumpur yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di situ bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan mereka tetapi akan turut mengancam sistem saliran dan kawasan pertanian seperti yang berlaku di Kupang, Baling, Kedah.

Jelasnya, kejadian banjir lumpur dan kemusnahan harta benda penduduk boleh berlaku jika tindakan tegas dan segera tidak diambil oleh pihak berkenaan. 

“CAP berasa hairan bagaimana kerajaan boleh meluluskan kerja-kerja pembalakan di kawasan itu tanpa mengkaji kesan ke atas alam sekitar dan sosio ekonomi penduduk tempatan. 

“Kita meminta Jabatan Hutan, Pejabat Daerah Sik, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) menjalankan siasatan terhadap masalah tersebut dan membantu penduduk-penduduk di sini mengatasi masalah yang mereka hadapi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia kelmarin mengenai keluhan penduduk di Kampung Tanah Liat dan Kampung Kerawai yang terpaksa berdepan masalah air keruh dan berselut dipercayai akibat daripada aktiviti pembalakan.

Menurut Mohideen, penduduk terlibat berhak mendapatkan bekalan air bersih untuk menjamin kesihatan mereka serta dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa pada masa akan datang. 

Sehubungan itu tambahnya, CAP akan menulis surat kepada Kerajaan Negeri Kedah meminta supaya masalah ini diberi perhatian serius dan berharap ia tidak berulang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya