SEREMBAN: Penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak wajar dilaksanakan sehingga menjadi beban dan kesusahan kepada rakyat yang ketika ini berada dalam keadaan terhimpit.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penguatkuasaan undang-undang yang tegas adalah perlu namun ia perlu laksanakan dengan adil dan bertimbang rasa.
“Keadilan di tangan kanan, ihsan di tangan kiri. Tanpa ihsan, maka tiadalah pertimbangan untuk keadilan. Janganlah pula di dikuatkuasa secara berpilih, dengan orang atasan dan yang terkenal mendapat layanan berbeza.
“Rakyat sudah lebih setahun menunggu pengakhiran kepada wabak sukar ini, janganlah kita pula menambah kesusahan kepada mereka. Penguatkuasaan yang adil dan bertimbang rasa adalah sebaik-baik pengajaran dan teladan, insya-Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau mengulas kejadian seorang peniaga burger di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini yang membuka gerai di hadapan rumahnya dan dikompaun RM50,000 serta kejadian enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak yang dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka.
“Bagaimana dia mampu melunaskan jumlah yang besar itu kerana beliau hanya berniaga burger. Bagi golongan B40 seperti peniaga tersebut, tindakan tersebut pasti sangat membebankan.
“Minggu lepas, pelajar di sebuah kolej di Perak dikompaun hanya kerana tidak menggunakan pelitup muka dengan kemas untuk membeli makanan. Mereka hanya pelajar, tinggal di kawasan asrama dan mereka pasti tidak mempunyai kemampuan untuk membayar denda yang besar,” katanya. – UTUSAN ONLINE