PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri digesa untuk menyegerakan siasatan punca kematian seorang lelaki, A. Ganapathy, 40, yang didakwa dipukul polis dengan paip getah ketika berada dalam tahanan sehingga kakinya terpaksa dipotong.
Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, Menteri Dalam Negeri, yang merujuk kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga perlu mengambil tanggungjawab untuk memastikan ahli keluarga mendiang tidak terdedah kepada ancaman.
“Setiap kali berlakunya kes seperti ini, kepercayaan masyarakat terhadap pihak berkuasa hanya akan merosot. Selagi satu kematian atau kecederaan yang berlaku dalam tahanan, perlu dijawab oleh pihak berkaitan.
“Saya percaya kematian ini juga sekali lagi membuktikan kepentingan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera.
“Keadilan dapat diketengahkan melalui jawatankuasa ini bukan sahaja penting untuk memastikan mangsa menerima keadilan, namun juga penting dalam usaha memperbaiki reputasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
11 Mac lalu, seorang wanita, S. Thanaletchumy, 60, membuat laporan polis berhubung dakwaan anaknya dipukul ketika dalam tahanan sehingga menyebabkan kakinya terpaksa dipotong.
Mendiang yang bekerja sebagai peniaga susu lembu ditahan pada 24 Februari lalu bagi membantu siasatan terhadap seorang lagi anaknya yang dikehendaki polis.
19 April lalu, A. Ganapathy menghembuskan nafas terakhir selepas lebih sebulan dirawat di unit simpanan rapi (ICU) di Hospital Selayang namun punca kematian masih dalam siasatan.
Di hospital, Ganapathy disahkan mempunyai masalah buah pinggang dan kakinya terpaksa dipotong. Ahli keluarganya mendakwa kesihatan mendiang menjadi teruk disebabkan dipukul melihat kaki mendiang bengkak dan lebam seperti kesan dipukul. – UTUSAN